Pengendali Liga-M 2024/25 sila perbaharui lesen jurulatih - PJBM

Ong Kim Swee
Ong Kim Swee
A
A
A

PENGENDALI kelab Liga Malaysia (Liga-M) 2024/25 diingatkan supaya memperbaharui lesen jurulatih masing-masing segera.

Itu peringatan keras Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), Datuk Ong Kim Swee kepada ahli-ahli persatuan tersebut.

Tegasnya, peringatan itu melibatkan jurulatih yang mengendalikan pasukan saingan Liga Super, Piala MFL, Liga M3, Liga M4, Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL).

“PJBM juga sedang berusaha untuk terus menjaga kebajikan ahlinya terutama jurulatih yang tidak dibayar gaji oleh pasukan dengan membantu dalam penyediaan afidavit bagi membuat tuntutan tunggakan gaji tersebut.

“Selain itu, PJBM memaklumkan penetapan syarat 15 jam kredit yang perlu dilalui semua jurulatih terlibat dengan pasukan masih di peringkat perbincangan bersama Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Scott O'Donell.

“Persatuan itu juga bercadang melaksanakan Kursus Kejurulatihan Bola Sepak Diploma 'B' AFC/FAM Julai ini dan Kursus Kejurulatihan Futsal Tahap 1 & 2 (Mei dan Jun ini) selain akan memperhalusi semula Peta Hala Tuju PJBM,” katanya.

Sementara itu, PJBM akan menganjurkan Seminar Kejurulatihan Antarabangsa 2024 yang turut melibatkan penceramah luar negara, September depan.

“Penceramah dari luar negara akan menyampaikan taklimat antaranya berkaitan corak kejurulatihan moden.

Artikel Berkaitan:

“Pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon turut dijemput untuk berkongsi maklumat mengenai peranan serta aspek penting dalam mengendalikan pasukan sehingga berjaya.

“Sasaran peserta untuk seminar ini adalah dalam kalangan ahli-ahli PJBM sendiri serta semua jurulatih yang terlibat dalam mengendalikan pasukan-pasukan Liga Malaysia bagi musim 2024/25,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!