Menteri Kabinet ucap Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Beberapa menteri Kabinet berharap agar sambutan kemeriahan Hari Raya Aidilfitri dapat mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai bangsa dan agama bagi mengekalkan keharmonian yang dikecapi selama ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, semua rakyat harus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim agar memberi tumpuan ke arah perpaduan dan merealisasikan masyarakat bersatu padu dengan harmoni.

"Ramadan berlalu hanya dalam sekelip mata. Semoga segala amalan kita diterimaNya, insya-Allah. Sedang kita menikmati juadah, berkunjung-kunjungan dan bermaaf-maafan, jangan kita lupa kepada yang tidak senasib dengan kita.

"Sama-sama kita panjatkan doa kepada Yang Maha Esa agar saudara-saudara kita yang berada di tengah-tengah konflik dan kekusutan diberikan kekuatan dan keteguhan dalam menghadapi dugaan yang melanda. Selamat Hari Raya,,maaf zahir dan batin,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menzahirkan harapan agar garapan dan didikan Ramadan serta kemeriahan Aidilfitiri kali ini membawa bersama harapan untuk melihat negara terus mengecapi kemakmuran rakyat berbilang kaum sekali gus menyuburkan benih-benih perpaduan dan persefahaman.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan isteri Datin Seri Norhayati Musa turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam.

"Kami juga mohon ampun maaf zahir dan batin di atas salah dan silap, tutur kata dan perbuatan. Kami pulang beraya di Kedah dan Kelantan dan kembali bertugas pada Isnin minggu hadapan.

"Semoga Aidilfitri ini disambut penuh gembira bersama ahli keluarga dan sahabat handai... Mari kita eratkan silaturahim sesama kita. Moga-moga Allah SWT limpahi rahmah dan keampunan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perayaan ini disifatkan sebagai hari kemenangan bagi setiap umat Islam hasil dari ‘peperangan’ menentang musuh dalam jiwa yang terbesar, iaitu hawa nafsu.

"Semoga Allah menerima amal ibadah kita semua. Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri. Maaf zahir dan batin,” katanya.

Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menerusi hantaran di Facebooknya mendoakan supaya Allah memberkati seluruh umat Islam dengan keberkatan bulan Syawal.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkongsi tips pemanduan selamat balik ke kampung sempena sambutan hari raya ini.

"Namun begitu, suka saya ingatkan kepada semua untuk sentiasa mengambil langkah-langkah keselamatan sewajarnya termasuk memeriksa keadaan kenderaan, merancang perjalanan dan mematuhi had laju lebuh raya.

"Semoga Allah SWT melindungi sepanjang perjalanan anda dan selamat tiba ke destinasi masing-masing," katanya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pula mendoakan semoga Allah SWT menerima segala amal umat Islam termasuklah solat, puasa, zakat, tilawah al-Quran, sedekah, qiyam dan segala amal soleh serta amal kebajikan yang laksanakan sepanjang Ramadan ini.

"Pandu cermat, jiwa selamat. Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua, sempena musim raya ini, sila ingat eratkan siratulrahim, perhebatkan perpaduan nasional dan sentiasa menjaga kesihatan badan," kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menerusi aplikasi X hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa turut menzahirkan ucapan Hari Raya Aidilfitri dan berharap masyarakat dapat berkumpul bersama keluarga tercinta dan sahabat handai, berkongsi kebahagiaan dan memaafkan kesilapan.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berharap agar semua rakyat Malaysia dapat jadikan sambutan Aidilfitri ini sebagai satu tapak integrasi bagi kukuhkan perpaduan.

Turut menzahirkan ucapan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali serta Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!