Limpahan cahaya memukau di Gua Neon
GUA MUSANG - Bermula dengan lokasi yang hanya dikenali oleh kaki hiking, Gua Chiku 2 yang terletak tengah-tengah laluan menuju bandar Gua Musang kini menjadi tarikan ramai untuk merasai sendiri keunikan berada di gua yang dilimpahi cahaya lampu warna-warni.
Ratusan lampu neon yang memancar dan menerangi struktur batuan kapurnya menjadikan gua itu juga sebagai Gua Neon yang pertama di negeri Kelantan.
Mereka yang mengunjunginya sudah pasti tidak akan melepaskan peluang untuk bergambar kenangan sambil menikmati ketenangan alam semula jadi.
Pengerusi Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) Chiku 2, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, gua itu terletak di tengah-tengah kawasan perkampungan Felda Chiku 2 dan kira-kira satu kilometer dari Jalan Gua Musang-Kuala Krai.
Menurutnya, pengunjung yang ingin merasai pengalaman beriadah di dalam gua akan mengambil masa selama satu hingga satu jam setengah perjalanan untuk sampai ke puncaknya yang berketinggian 300 kaki.
“Trek gua ini tidaklah terlalu sukar dan sesuai menjadi tempat beriadah keluarga yang mempunyai anak-anak kecil.
“Menerokai keindahan gua berusia ratusan tahun itu sangat mengujakan kerana terdapat tujuh tingkat atau aras yang menyimpan pelbagai keunikan dan khazanah alam semula jadi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian baru-baru ini.
Berkongsi pengalamannya, beliau berkata, memasuki pintu gua sahaja akan terus terpukau dengan struktur bentuk batu yang cantik, unik dan mempesonakan.
“Di aras pertama Gua Chiku 2 ini terdapat pelbagai binatang dan batu-batuan pelbagai bentuk selain anak sungai.
“Antaranya ialah batu yang menyerupai gajah, ikan, katak, ular, cicak, burung helang, buaya, orang tidur, mahkota, kasut, saji selain adanya air terjun tujuh tingkat,” katanya.
Tambahnya, KAF sebelum ini melaksanakan inisiatif melalui peruntukan RM100,000 menaik taraf termasuk membersihkan, membina titian dan menghiasi gua itu dengan lampu neon sekali gus dapat menarik ramai penunjung terutama pada hujung minggu dan musim cuti persekolahan.
“Kerja-kerja menaik taraf gua dilakukan hasil usahasama antara Kaf dan penduduk Felda 2 bermula pada tahun 2020 bertujuan menaikkan lagi pelancongan setempat.
“Gua ini turut mendapat pengiktirafan sebagai Gua Neon pertama di Kelantan oleh Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) negeri dan menjadi destinasi pelancongan terbaharu di negeri ini,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!