Malaysia perlukan kekuatan semua untuk lonjak ke tahap terbaik - Anwar
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia memerlukan kekuatan dan komitmen seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama bagi melonjakkan negara ke tahap terbaik dan bermaruah.
Dalam perutusan khas sempena Aidilfitri 2024/1445H esok, Anwar berkata, negara tidak boleh menyisihkan atau memusuhi mana-mana kelompok serta kaum sama ada majoriti mahupun minoriti atas apa jua alasan.
Bagaimanapun, katanya, kerangka pembinaan bangsa itu bukan alasan untuk meremehkan kepentingan Islam sebagai agama Persekutuan dan meningkatkan pelaksanaan syariah di negara ini.
"Malah kita harus tegas, pasti dan tidak kelihatan bertolak ansur dalam kesungguhan kita memupuk nilai dan membina negara yang bermaruah.
"Namun jangan kita anggap ini sebagai suatu sijil, peluang untuk meremehkan, menghina atau merosakkan kaedah budaya dan cara hidup orang lain. Inilah perimbangan, keseimbangan yang perlu dipertahankan dalam semangat kita di Malaysia merayakan Hari Raya Aidilfitri Mubarak ini,” katanya.
Perutusan khas itu disiarkan menerusi saluran televisyen tempatan malam ini.
Dalam perutusan itu, Anwar turut mengajak rakyat menghayati makna Eid Mubarak di mana umat Islam meraikan kemenangan setelah berjaya kembali kepada fitrah kemanusiaan menerusi Ramadan yang menjadi ‘madrasah ruhiyyah’ untuk meninggalkan amalan dan budaya lama yang merosakkan.
Beliau berkata, usaha untuk mencapai kemenangan itu harus mempunyai tekad kerana setiap perjuangan memerlukan kesabaran, kebijaksanaan dan perencanaan yang cermat bagi mengimbangi seluruh aspek kenegaraan.
"Kegopohan menjanjikan kegagalan dalam pentadbiran kerajaan hari ini, kita mesti menimba pengalaman dan kebijaksanaan tokoh negarawan silam supaya menghindar yang mudarat dan mengangkat serta mencipta manfaat.
"Kita tidak menuntut semata-mata, perakuan dan kepujian malah teguran dan kritikan yang membina juga amat diperlukan dalam negara. Negara kita harus memupuk nilai-nilai supaya ‘karamah insaniah’ diperteguh,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengajak umat Islam supaya mengambil peluang Aidilfitri ini sebagai ruang terbaik untuk saling memohon kemaafan sekiranya berlaku ketelanjuran dan kesilapan.
Beliau menyifatkan ungkapan ‘Maaf Zahir dan Batin’ sering diucapkan setiap kali sambutan 1 Syawal sebagai tradisi istimewa rakyat Malaysia yang tidak diamalkan oleh umat Islam di negara lain.
"Ini tonggak mesej Islam itu sendiri, berjumpa bermaaflah. Kita semua lakukan kesalahan kesilapan. Jangan kita terlalu sombong untuk mengaku bahawa kita sudah sempurna.
"Ada keterlanjuran, ada kata-kata kesat, ada kemarahan. Maka ambillah peluang ini maaf zahir batin dengan keluasan yang terpancar dari hati nurani,” katanya.
Anwar juga memohon maaf kepada seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia sekiranya ada keterlanjuran kata, kesilapan bahasa ataupun yang telah menyentuh perasaan.
"Kita doa supaya kita punya kekuatan yang cukup bina perpaduan, rancak pertumbuhan, kasih pada yang melarat, memperkasa rakyat dan menjelmakan kejayaan. Malaysia mesti terus kuat dan makmur,” katanya yang turut mengucapkan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri’ kepada seluruh umat Islam.
"Mereka yang melakukan perjalanan untuk pulang ke kampung halaman juga dinasihati supaya memandu dengan cermat dan ingat kepada yang tersayang,” katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!