‘Akhirnya kami disatukan’ - Nadir Al-Nuri
SHAH ALAM - Sambutan perayaan Aidilfitri kali ini lebih bahagia buat Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman apabila akhirnya dapat menyambut lebaran bersama keluarganya di Malaysia.
Melalui perkongsian hantaran di Facebook, Nadir Al-Nuri berkata, begitu banyak usaha yang dijalankan pelbagai pihak untuk membawa keluarganya dari Palestin pulang ke tanah air.
“Selepas usaha panjang, akhirnya kami disatukan.
"Perbincangan beberapa bulan, pendapat ramainya ulama dan paling penting doa kalian.
“Banyak yang perlu kami ceritakan, hero yang perlu kami dendangkan tetapi buat masa ini biarlah kalian beraya sehingga esok lusa,” katanya pada Rabu.
Sebelum ini, Nadir terpaksa meninggalkan Gaza susulan beberapa urusan di Malaysia sebelum konflik Israel-Palestin berlaku pada 7 Oktober tahun lalu.
Beliau juga menjalani ibadah puasa sepanjang Ramadan sendirian tanpa keluarga kerana terpisah akibat peperangan tersebut.
Mengulas lanjut, tambah Nadir Al-Nuri, selepas umat Islam menyambut perayaan tersebut, beliau akan menceritakan permulaan dan pihak yang terlibat dengan usaha berkenaan.
Beliau turut memberikan ucapan selamat hari raya dan terima kasih kepada orang ramai atas hadiah paling istimewa yang diterimanya itu.
“Selamat hari raya, maaf zahir dan batin dari sedalam hati kami,” ucapnya ringkas.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!