Tiga anak lelaki Ketua Hamas maut serangan Israel, Pas rakam takziah

Ketua Hamas, Ismail Haniyeh
Ketua Hamas, Ismail Haniyeh
A
A
A

SHAH ALAM - Pas menzahirkan ucapan takziah kepada Ketua Hamas, Ismail Haniyeh yang kehilangan tiga orang anak lelaki dan beberapa cucu akibat terbunuh dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, serangan berterusan rejim Zionis ke atas bumi suci umat Islam pada hari pertama Hari Raya Aidilfitri adalah siri berterusan tindakan genosid Israel ke atas rakyat Palestin.

“Pas merakamkan takziah dan menyatakan rasa dukacita yang amat mendalam dengan berita syahidnya tiga anak Ismail Haniyeh iaitu Hazen Haniyeh, Amir Haniyeh dan Muhammad Haniyeh.

“Selain itu turut syahid adalah tiga cucu beliau, Amal (anak kepada Hazen) serta Khaled dan Razan (anak kepada Amir).

“Sesungguhnya kesyahidan mereka ini akan pasti menyemarakkan kebangkitan umat Islam bukan hanya di Palestin malahan turut menyemarakkan kebangkitan di seluruh dunia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis.

Baru-baru ini, media antarabangsa melaporkan sejak bermulanya kempen pembunuhan beramai-ramai di Gaza pada 7 Oktober 2023, lebih 33,360 rakyat Palestin terbunuh dan 75,993 cedera.

Menurut laporan itu, angka kematian di Israel akibat serangan Hamas pada 7 Oktober lalu ialah 1,139.

Susulan itu, Tuan Ibrahim menggesa untuk menyegerakan gencatan senjata dan membuka pintu sempadan Rafah bagi mempercepatkan bantuan kemanusiaan berupa ubat-ubatan dan keperluan asas harian penduduk di Gaza.

Artikel Berkaitan:

“Saya menyeru kepada semua, jangan kita lupakan saudara kita di Palestin dengan terus berdoa untuk kemenangan mereka,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!