Polis tahan empat lelaki bermain bunga api

Video tular yang memaparkan sekumpulan lelaki bermain bunga api dalam keadaan membahayakan orang awam
Video tular yang memaparkan sekumpulan lelaki bermain bunga api dalam keadaan membahayakan orang awam
A
A
A

KOTA BHARU - Polis menahan empat lelaki yang bermain bunga api sehingga mengganggu ketenteraman dan membahayakan orang awam menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri awal pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, kesemua lelaki berkenaan dikatakan bermain bunga api secara berlawanan iaitu dua daripada mereka berada di kawasan tepi sebuah pasar raya manakala dua lagi individu berada di atas Jambatan Sultan Yahya Petra Kota Bharu.

Menurut beliau, polis menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian berkenaan dan terus bergegas ke lokasi, namun hasil siasatan mendapati tiada sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda.

"Keempat-empat lelaki itu berusia dalam lingkungan 22 hingga 27 tahun itu bagaimanapun diberi amaran keras sebelum dibebaskan supaya tidak mengulangi perbuatan itu lagi.

"Polis turut mengambil keterangan daripada kesemua lelaki terbabit untuk tindakan lanjut," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini tular satu video berdurasi 5 minit 16 saat yang memaparkan sekumpulan individu sedang bermain bunga api di sekitar kawasan Lembah Sireh Kota Bharu Kelantan.

Jelas Mohd Rosdi, bermain bunga api sehingga mengganggu ketenteraman atau membahayakan orang awam merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Tambah beliau, individu yang sengaja menyebabkan letupan atau menyimpan bahan letupan dengan niat untuk menyebabkan bahaya kepada nyawa atau harta benda boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1958 (Akta 207) yang boleh dikenakan hukuman penjara 7 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

Justeru, polis menasihatkan orang ramai supaya lebih bertanggungjawab serta mengamalkan langkah-langkah keselamatan ketika bermain bunga api.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!