PM hadiri rumah terbuka Yang Dipertua Dewan Rakyat

Anwar (dua dari kiri) bersama Dr Wan Azizah (dua dari kanan) pada Majlis Rumah Terbuka Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul (kanan) di kediaman rasminya di Bukit Tunku, hari ini. Foto Bernama
Anwar (dua dari kiri) bersama Dr Wan Azizah (dua dari kanan) pada Majlis Rumah Terbuka Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul (kanan) di kediaman rasminya di Bukit Tunku, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, hari ini menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul di kediaman rasminya, di sini.

Anwar dengan baju Melayu berwarna kuning lengkap bersamping, tiba pada 12.05 tengah hari dan disambut Johari.

Perdana Menteri dan isteri meluangkan masa kira-kira 40 minit di majlis itu, bagi menikmati hidangan selain turut beramah mesra dengan tetamu yang hadir.

Antara juadah yang disediakan antaranya termasuk ubi kayu kukus dan kelapa parut, lemang, rendang, mi rebus, mi goreng, aneka kuih-muih serta cendol.

Majlis yang bermula dari 12 tengah hari hingga 4 petang itu, turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Turut hadir beberapa Ahli Parlimen termasuk Ahli Parlimen Subang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Ke-15 (JKPK) Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa, Wong Chen dan Ahli Parlimen Selayang yang juga Pengerusi JKPK Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, William Leong Jee Keen.

Selain itu, beberapa perwakilan asing antaranya dari Mesir, Turkiye, Nepal, Algeria, India dan Romania serta ahli korporat dan profesional, turut hadir memeriahkan majlis rumah terbuka tersebut. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!