Imigresen buat pemeriksaan mengejut musim perayaan
KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur menjalankan pemeriksaan secara rawak dan mengejut melibatkan kawasan-kawasan dikenal pasti sebagai tumpuan warga asing sepanjang musim perayaan.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, tindakan dijalankan ini melibatkan kawasan-kawasan dikenal pasti sebagai tumpuan warga asing.
"Pemeriksaan dilakukan melibatkan premis yang menjalankan aktiviti perniagaan bagi memastikan tiada majikan yang menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI).
"Langkah pemeriksaan secara mengejut ini meningkatkan kesedaran berkaitan pematuhan undang-undang terutamanya melibatkan soal menggajikan PATI," katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, statistik merekodkan seramai 27 majikan yang dikenakan kompaun sebanyak RM428,500 pada tahun 2023.
"Jumlah berkenaan berdasarkan sebanyak 871 operasi dijalankan selain melibatkan tangkapan seramai 2,137 PATI.
"Operasi yang dijalankan bermula Januari sehingga Mac tahun ini mencatatkan 243 operasi dan tangkapan melibatkan 710 PATI serta 44 majikan telah dikenakan kompaun," katanya.
Menurutnya, tindakan tanpa tegas akan diambil terhadap mana-mana majikan yang didapati menggajikan PATI.
"Tindakan ini jelas sekali melanggar peruntukan undang-undang yang ditetapkan dan pihak imigresen sememangnya tidak berkompromi dalam soal ini.
"Saya tegaskan jangan cabar imigresen apabila dengan sengaja menggajikan PATI, undang-undang telah menetapkan kesalahan berkenaan jadi patuhilah ia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!