Tiga warga Bangladesh maut kemalangan selepas tayar MPV pecah
KAMPAR - Tiga warga Bangladesh maut manakala seorang cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terbabas akibat tayar pecah sebelum dirempuh sebuah lori tanpa muatan di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud dalam kenyataan hari ini berkata, dalam kejadian jam 1.49 tengah hari itu, tiga penumpang MPV jenis Naza Citra, Abdullah Mohammad, 31, Ali Askar (tiada umur) serta Md Sohel Miah (tiada umur) maut di lokasi kejadian.
Pemandu Naza Citra, Md Kobir Hossain, 32, bersama tiga lagi penumpang, Md Saiful Islam, 25, Md Raju Miah, 27, dan Sohel Rana, 30, tidak mengalami kecederaan sementara Mohammad Sohel, 24, mengalami kecederaan di perut, kepala serta tangan kiri.
Katanya kesemua mereka merupakan pekerja kebun di Cameron Highlands kecuali Abdullah yang tidak diketahui pekerjaannya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati semua penumpang kereta berkenaan dalam perjalanan dari Cameron Highlands menghala ke Kuala Lumpur, namun sebaik tiba di lokasi kejadian, tayar belakang bahagian kiri pecah sebelum kenderaan itu terbabas dan merempuh penghadang besi di sebelah kiri.
Mohamad Nazri berkata, kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas di bahagian kiri jalan sebelum masuk semula ke lorong kiri.
"Lori jenis Isuzu yang melalui arah sama tidak sempat mengelak sebelum merempuh kereta terbabit dari arah belakang,” katanya.
Menurutnya pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, semua mangsa yang cedera di bawa ke Hospital Tapah untuk rawatan.
"Kereta Naza Citra mengalami rosak teruk di semua bahagian terutamanya bahagian belakang manakala lori terbabit remuk sedikit di bahagian hadapan pada sebelah kiri," katanya.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!