‘Aidilfitri pertama sebagai selebriti’ – Erysha Emyra
SAMBUTAN Aidilfitri tahun ini terasa berbeza buat pelakon baru, Erysha Emyra apabila pertama kali meraikannya dengan gelaran selebriti.
Bukan itu sahaja, anak kepada dramatis Noniswara Baharudin tidak berpeluang bercuti panjang seperti kebiasaan, lantaran komitmen penggambaran drama terbaharu lakonannya.
Ujar gadis yang baru menginjak ke usia 24 tahun itu, dia bersyukur kerana keluarga amat memahami tuntutan kerjanya.
“Saya memang sibuk dengan penggambaran sepanjang bulan puasa dan hanya bercuti sejak Isnin lalu. Insya-ALLAH dua hari lagi saya akan kembali ke set penggambaran, drama tersebut akan disiarkan di Astro Ria kelak.
“Boleh dikatakan ini adalah Aidilfitri pertama saya sebagai selebriti, memang terasa sedikit perbezaan kerana saya sibuk bekerja. Apa pun saya bersyukur kerana masih sempat pulang ke Kelantan dan meluangkan masa dengan keluarga di sini.
“Alhamdulillah, keluarga amat memahami kerjaya saya dan memberi dukungan penuh,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah Erysha atau nama penuhnya Nur Erysha Emyra Zakaria, dek komitmen kerja itu, beliau juga tidak sempat membuat persiapan raya dan hanya membeli beberapa helai pakaian pada saat akhir.
Malah tuan punya badan juga tidak dapat merancang untuk membuat rumah terbuka untuk peminat kerana masa yang terhad.
“Baju raya pun saya tempah sepasang, selebihnya saya beli pada saat akhir, itu pun tidaklah banyak, memandangkan cuti tidak lama.
“Saya akan bekerja sehingga penghujung Mei nanti, Insya-ALLAH,” jelasnya yang sempat menunaikan ibadah umrah pada awal Ramadan lalu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!