Nyawa boleh melayang kerana main telefon bimbit

Jangan kerana telefon bimbit, nyawa kita melayang dan orang lain juga menjadi mangsa. Foto hiasan
Jangan kerana telefon bimbit, nyawa kita melayang dan orang lain juga menjadi mangsa. Foto hiasan
A
A
A

SETIAP tahun, Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) dilancarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam usaha memastikan kelancaran perjalanan pengguna jalan raya pulang beraya ke kampung halaman.

Sudah pasti, objektif utamanya selain daripada menguatkuasakan dengan tegas pematuhan perundangan dan peraturan, ia bertujuan bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya yang cukup membimbangkan.

Seperti tahun sebelumnya, sembilan kesalahan utama terus menjadi tumpuan HRA 2024 yang dilancarkan bermula 1 hingga 20 April.

Selain daripada tidak mematuhi had laju, memotong di garisan berkembar termasuk memandu di lorong kecemasan, antara 'dosa' besar yang disenaraikan JPJ adalah menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Bercakap tentang penggunaan telefon bimbit misalnya, tidak dapat kita nafikan hidup bersama-sama dengan teknologi ini menyebabkan ia sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kita.

Meskipun betapa penting peranan telefon bimbit dalam kelangsungan hidup, namun harus diingat ketika memandu, ia boleh menjadi suatu ancaman serius kepada keselamatan kita dan pengguna jalan raya lain.

Bayangkan anda sedang memandu dalam keadaan jalan raya yang sesak pada musim perayaan, namun kerana leka dengan telefon bimbit, fokus pemanduan terbahagi kepada dua iaitu skrin telefon bimbit dan jalan.

Apabila ini berlaku, ia boleh menyebabkan pemandu gagal mengesan isyarat lalu lintas, keadaan kenderaan di sekeliling atau perubahan keadaan jalan yang akhirnya boleh membawa kepada nahas jalan raya.

Artikel Berkaitan:

Sudahlah merisikokan diri, penggunaan telefon bimbit yang menyalahi Akta Pengangkutan Jalan 1987 boleh menyebabkan pemandu dikenakan denda dan lesen digantung jika kesalahan sama dilakukan secara berulang.

Sebenarnya, bukanlah tidak boleh langsung menggunakan telefon bimbit sepanjang perjalanan pulang ke kampung memandangkan dalam perjalanan yang panjang adakalanya sehingga berbelas jam, tentu ada urusan penting yang memerlukan penggunaan telefon bimbit.

Sebagai pemandu yang berhemah, lakukanlah ketika kita berhenti di hentian rehat dan rawat (R&R). Jangan kerana telefon bimbit, nyawa kita melayang dan orang lain juga menjadi mangsa.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!