Nikmati kehijauan di Teratak Rimba
KUALA KRAI - Perasaan cinta yang begitu mendalam kepada alam semula jadi memberi inspirasi kepada seorang usahawan mengusahakan pusat peranginan dikenali sebagai Teratak Rimba Resort Abam Peah.
Terletak di kawasan Sungai Pas di sini, Azli Mohd Noor atau mesra disapa Abam Peah tidak menolak dan terus membuat bayaran sejurus ditawarkan tanah berkeluasan 2.4 hektar itu.
Melihat kepada potensi dan kecantikan alam yang ada di kawasan itu serta kedudukan berhampiran anak sungai membuatkan Abam Peah sanggup mengeluarkan duit poket sendiri demi memajukan lokasi tersebut.
“Perasaan cinta dan sayang saya kepada alam sekitar tidak boleh dipisahkan. Alam sekitar adalah 'jiwa', sebab itulah saya nekad bangunkan kawasan ini.
“Alhamdulillah walaupun pembinaannya baru siap 20 peratus, namun kawasan ini telah berjaya menarik orang ramai untuk berkunjung dan berkelah di sini.
“Semuanya gara-gara keindahan lokasi ini yang tular dalam kalangan penduduk setempat membuatkan saya tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.
Beliau berkata, disebabkan semuanya dibina sendiri, resort berkenaan baharu sahaja dilengkapi 10 pondok khas untuk bermalam dengan harga serendah RM100 hingga RM300.
Abam Peah memberitahu, terdapat beberapa kemudahan lain seperti tempat berkelah, mandi-manda serta barbeku dan aktiviti mandi bersama santuari kelah.
Katanya, kedudukan kawasan tersebut yang hanya terletak satu kilometer dari jalan besar menyebabkan ia mudah dikunjungi.
Beliau menambah, selain dapat menikmati kesejukan air yang mengalir dari Sungai Pahi, pengunjung dapat menikmati kehijauan kawasan sekitar seperti Lata Berangin, Y dan Papan.
Pada Ramadan lalu, menurut beliau, Teratak Rimba Resort Abam Peah telah dibuka kepada pengunjung untuk merasai suasana berbuka puasa di dalam air.
“Kami hanya menyediakan kemudahan tempat duduk dengan kadar sewa sebanyak RM30.
”Hanya pengunjung perlu membawa makanan sendiri kerana di sini belum lagi menyediakan kafe mahu pun kedai makan,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!