Kenali Al-Jahiz, pelopor konsep rantai makanan
Bermula sebagai peniaga ikan di terusan, beliau akhirnya menjadi figura cendekiawan Islam tersohor dan terkenal dengan jolokan pakar zoologi Muslim pertama
APABILA konsep rantai makanan diajar dalam subjek Sains semasa sekolah rendah, kebanyakan daripada kita begitu teruja. Saat itu baru kita sedar tentang mangsa dan pemangsa yang mana setiap benda hidup menjadi makanan kepada yang lain.
Rupanya teori itu sebenarnya hasil cetusan ilmuan Islam yang dikenali sebagai Al-Jahiz sejak berkurun lamanya.
Sumbangannya terhadap dunia sains dan zoologi begitu besar hingga diduplikasikan dalam sistem pendidikan kita kini. Tidak hairanlah jika ada yang menggelarkannya sebagai ahli zoologi Muslim pertama.
Hasil pembacaan Sinar Islam Plus, ceritera kehidupan pemilik nama sebenar Abu Othman Amr bin Bakr Al-Basri begitu menyentuh sanubari dan mampu menyuntik elemen motivasi kepada kita.
Bayangkan, Al-Jahiz dahulunya hanyalah insan biasa dan datang daripada keluarga miskin. Nama Al-Jahiz (yang menonjol keluar) itu 'melekat' padanya kerana mempunyai satu mata yang lebih besar.
Tekun tuntut ilmu
Menurut laman web Arts and Culture, ilmuan berasal dari Basrah, Iraq yang hidup sekitar abad ke-8 ketika zaman mudanya pernah bekerja menjual ikan di salah satu terusan mengalir ke Basrah.
Meskipun dihambat kesukaran, ada satu sikapnya yang wajar dipuji iaitu ketekunannya dalam menuntut ilmu begitu luar biasa. Beliau juga sangat mencintai bahasa Arab, gemar membaca dan menulis.
"Malah, beliau juga menyesuaikan penulisannya dengan cara boleh difahami orang ramai. Tulisannya diselang-selikan dengan anekdot, unsur jenaka dan humor.
"Beliau turut membaca kesusasteraan Yunani terutamanya Aristotle," katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web artsandculture.google.com.
Ketika di Basrah, The Patriots melaporkan, Al-Jahiz berguru dengan ramai orang antaranya Abu Ubaidah Al-Muthanna, Al-Asmai' dan Said bin Aus Al-Ansari.
"Sepanjang 25 tahun pengajiannya, beliau mempunyai pengetahuan mendalam dalam bahasa dan kesusasteraan Arab, al-Quran dan hadis serta sejarah Arab prakedatangan Islam," katanya.
Menjadi resam ilmuan yang tidak pernah jemu menggali ilmu, Al-Jahiz meluaskan lagi keintelektualannya dengan mengembara ke Damsyik, Beirut, Samarra dan Baghdad.
Barangkali kesukaran hidupnya semasa kecil membuatkan figura hebat itu menjadi matang dan berdikari sepanjang hayatnya.
Tulis lebih 200 karya
Tidak mensia-siakan pengetahuan dimiliki, Al-Jahiz membukukan segala gagasan fikrahnya. Malah, beliau juga menjadikan hasil penulisannya untuk menyara kehidupannya. Sepanjang hayatnya, beliau dikatakan menulis lebih daripada 200 karya hebat merangkumi kesusasteraan, mengenai al-Quran dan zoologi.
Namun sayangnya, hanya 30 buah nukilan beliau yang dapat dipulihkan oleh pakar hari ini. Demikian lapor portal berita berpengaruh di Indonesia, Republika.
Menerusi pelbagai karya dihasilkan, monumental agung nukilannya, Kitab al-Hayawan (Kitab Haiwan) dianggap sebagai mahakarya ulungnya. Tulisannya yang mengandungi tujuh jilid penuh berkisarkan tentang tingkah laku dan habitat haiwan.
"Ia sangat progresif kerana ditulis pada abad ke-9 dan memaparkan idea moden tentang rantaian makanan dan evolusi, biologi serta kewujudan homoseksualiti dalam alam semula jadi.
"Kitab berkenaan lebih daripada ensiklopedia. Ia sangat puitis, walaupun saintifik, tetapi masih menghormati idea dan teologi Islam," kata republika.co.id.
Satu lagi karya agung miliknya ialah Kitab al-Bukhala yang merupakan koleksi cerita satira dunia Arab.
"Tema utamanya berkaitan sikap tamak yang mana Al-Jahiz menyindir sesiapa sahaja daripada pengemis hinggalah guru yang berkelakuan tamak.
"Kebanyakan kisah ini terus disiarkan hingga ke hari ini termasuk dalam majalah-majalah Arab," kata thepatriots.asia.
Selepas menghabiskan usianya lebih 50 tahun di Baghdad, Al-Jahiz kemudian kembali ke Basrah dan meninggal dunia di situ pada tahun 868 Masihi.
PROFIL
Nama penuh: Abu Othman Amr bin Bakr Al-Basri
Nama panggilan: Al-Jahiz
Asal: Basrah, Iraq
Tahun kelahiran: 776 Masihi
Tahun kematian: 868 Masihi
Sumbangan:
- Ahli zoologi Muslim pertama yang mengkaji lebih daripada 350 jenis haiwan dalam mahakarya agungnya, al-Hayawan.
- Cendekiawan Muslim terawal mengelaskan haiwan kepada beberapa jenis seperti berjalan, terbang dan berenang.
Karya agung: Al-Hayawan (The Book of Animals), al-Qaul fi al-Baghal dan al-Bukhala
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!