Klopp terkedu Liverpool tumbang di Anfield

Jurgen Klopp
Jurgen Klopp
A
A
A

JURGEN Klopp mengakui Liverpool kehilangan plot apabila anak-anak buahnya diaibkan Atalanta, 0-3 dalam aksi suku akhir pertama Liga Europa di Stadium Anfield pada Jumaat.

Malah percaturan pengendali dari Jerman itu membuat enam pertukaran dalam kesebelasan utamanya memakan diri apabila Gianluca Scamacca (m-38, m-60) dan Mario Pasalic (m-83) memastikan kelab sensasi Serie A Itali tersebut menjadi pasukan pertama yang menang di Anfield musim ini.

Keputusan di laman keramat Liverpool itu menyebabkan Klopp terpinga-pinga melihat bagaimana The Reds tumbang menyaksikan kelab Inggeris berkenaan memerlukan keajaiban pada perlawanan kedua suku akhir minggu depan.

Pada masa sama penyokong-penyokong Liverpool berharap perlawanan akhir Liga Europa di Dublin pada 22 Mei merupakan momen terindah Klopp sebelum meninggalkan kelab itu.

"Sejujurnya ini adalah permainan yang sangat teruk...

"Kami bermula dengan baik kemudian tidak meneruskan. Sebelum mereka menjaringkan gol, kami hanya kehilangan sedikit plot.

"Bahagian tengah kurang memberi impak begitu juga kanan dan kiri," kata bekas pengendali kelab Bundesliga Jerman, Borussia Dortmund tersebut.

Pada perlawanan itu, kesilapan penjaga gol Caoimhin Kelleher membolehkan Atalanta mendahului separuh masa.

Artikel Berkaitan:

Klopp kemudiannya memasukkan Mohammad Salah, Dominik Szoboszlai dan Andy Robertson diikuti Luis Diaz selepas sejam, namun gagal memberi impak menyaksikan keadaan menjadi lebih buruk.

Dalam pada itu, Klopp mempertahankan pemilihan pemain Liverpool di tengah-tengah perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris bermula menanti kunjungan Crystal Palace melawat Anfield hujung minggu ini.

"Saya mendapat soalan 100 peratus, jika kami kalah dalam perlawanan, begitulah keadaannya - perubahannya.

"Tetapi salah satu sebab saya akan melakukan perkara yang sama sekali lagi adalah kerana jika kami mahu menjadi baik dalam baki musim ini, kami perlu membuat perubahan.

"Saya bertanggungjawab untuk keputusan ini dahulu, saya tahu itu. Tetapi keputusan (mengenai kesebelasan utama) akan tetap sama," ujar Klopp.

Sebagai rekod, Liverpool pernah membalikkan defisit 0-3 untuk menewaskan Barcelona seterusnya mara ke final Liga Juara-Juara 2019.

Klopp tidak membuat sebarang ramalan bombastik tentang pengulangan minggu depan di Itali, bagaimanapun berkata:

"Bolehkah kita menang 3-0? Saya tidak tahu."

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!