Serangan kem pelarian Shati: Malaysia cuba bantu, walau usaha belum cukup
SHAH ALAM - Serangan rejim Zionis ke atas Palestin sehingga mengakibatkan puluhan ribu nyawa terkorban bukan penghalang untuk rakyat di Tanah Arab itu terus berjuang dan mempertahankan maruah, kehidupan sehingga mati syahid.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, rakyat Malaysia akan sentiasa mendoakan kesejahteraan penduduk Palestin dan menyalurkan bantuan walaupun usaha tidak mencukupi.
“Setiap hari tidak berhenti kematian, kesakitan, kedukaan dan penderitaan yang dilalui. Tak sanggup mengungkapkan betapa terseksanya batin kita menerima khabar perkembangan di sana.
“Sehinggakan sepanjang Ramadan dan pada sambutan Hari Raya Aidilfitri juga, genosid masih terus berlaku.
“Bersabarlah saudara-saudara sekalian. Rakyat Malaysia tetap bersama kalian, mendoakan, membantu sedaya mungkin, walau kami tahu usaha kami belum mencukupi,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan rejim Zionis melancarkan serangan udara di di kem pelarian Shati di utara Gaza sewaktu umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidilfitri dengan menyaksikan mangsa terbaharu anak dan cucu pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.
Mengulas mengenai serangan udara terbaharu itu, Fadhlina turut menzahirkan ucapan takziah kepada Ismail.
Menurut Ahli Parlimen Nibong Tebal itu, Ketua Hamas berkenaan pernah menyampaikan salam dan doa buat seluruh warga pendidik dan pelajar atas keberanian menyatakan sikap berkaitan isu tersebut dengan penganjuran Minggu Solidariti Palestin di institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Sesungguhnya, ujian berat yang menimpa warga Palestin bukan hanya pada enam bulan mutakhir ini, tetapi sejak lebih tujuh dekad membuktikan kecekalan mereka menempuh ujian.
“Tujuh dekad dalam penindasan dan penjajahan, namun terus bertahan dari generasi ke generasi. Mereka sudah tidak punya apa-apa lagi, harta benda dirampas, rumah dibom, sekolah dihancurkan, gedung perniagaan dirobohkan,” ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
@sinarharianonline Malaysia cuba bantu Gaza, walau usaha belum cukup #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #Nasional #Dunia #Global #TimurTengah #Palestin #Bantuan #FadhlinaSidek
To Guide You Home - Sami Yusuf
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!