Polis tumpas kegiatan edar jus minuman disyaki bercampur dadah

Antara kotak jus minuman pelbagai perisa juga disyaki berisi campuran dadah yang dirampas susulan penahanan suspek pada Jumaat.
Antara kotak jus minuman pelbagai perisa juga disyaki berisi campuran dadah yang dirampas susulan penahanan suspek pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran jus minuman disyaki dicampur dadah di sekitar Kuantan susulan penahanan seorang lelaki di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek berusia 42 tahun itu disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di pusat hiburan sekitar daerah ini.

Menurutnya, penahanan lelaki itu dilakukan hasil serbuan ke atas dua lokasi berasingan di sini kira-kira jam 12.10 pagi.

"Susulan penahanan suspek warga tempatan itu, pihak polis berjaya menemui dan merampas 50 cawan jus minuman berisi bahan campuran disyaki dadah berbahaya dengan anggaran berat lebih 5.2 kilogram.

"Turut dirampas 75 kotak jus minuman pelbagai perisa juga disyaki berisi campuran dadah berjumlah 17,900 mililiter dianggarkan bernilai RM35,300," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Yahaya berkata, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan jika sabit kesalahan.

"Suspek kini direman selama tujuh hari bermula Jumaat hingga 18 April ini untuk siasatan lanjut.

"Hasil ujian saringan air kencing ke atas lelaki itu mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan turut memiliki tujuh rekod lampau berkait kes dadah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, susulan penahanan suspek itu, pihaknya yakin berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah jenis itu di pusat-pusat hiburan sekitar daerah ini.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dadah boleh disalurkan ke Pusat Kawalan Kontinjen Pahang (CCC) di talian 09-5051999/2202 atau bilik operasi 24 jam Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Pahang di talian 09-5052287 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya lagi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!