Masjid Nurul Huda perlu dana ganti siling rosak
PUCHONG - Pihak pengurusan Masjid Nurul Huda di sini, sedang mengumpulkan dana tambahan bagi menggantikan siling masjid berkenaan yang rosak kesan kejadian ribut 30 Mac lalu.
Penolong Setiausaha Masjid Nurul Huda, Muhamad Firdaus Musa, 33, berkata, kejadian ribut itu menyebabkan sebahagian besar bumbung di ruang solat lelaki dan wanita diterbangkan ribut.
Ujarnya, keadaan itu menyebabkan ada siling yang runtuh manakala permaidani di masjid berkenaan basah apabila ruang solat lelaki dan wanita dipenuhi dengan air.
"Pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengambil tindakan pantas susulan kejadian ribut dengan melantik pihak kontraktor dan bumbung yang tercabut telah dibaiki secara sementara.
"Dalam masa sama, siling yang basah masih runtuh dan pihak masjid mengambil keputusan membuka keseluruhan siling kerana bimbang menimpa jemaah," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Jumaat.
Ujarnya, pembaikan siling masjid berkenaan adalah penting bagi memastikan keselesaan jemaah dan dapat mengelak ruang solat dicemari dengan najis cicak.
"Pihak masjid ada memohon dana dari JAIS untuk membaiki kesemua kerosakan, namun tiada keputusan diterima dari pihak JAIS setakat ini.
"Oleh sebab itulah pihak masjid segera mengambil tindakan sendiri dengan mengadakan gotong royong bersama ahli kariah bagi kemudahan untuk solat sunat Aidilfitri dan solat Jumaat," ujarnya.
Sehubungan itu, pihak pengurusan masjid berharap mana-mana pihak boleh tampil membantu memberi infak sebagai kos baik pulih siling di masjid ini supaya jemaah dapat bersolat dengan selesa.
Tambahnya, mereka yang berhasrat menghulurkan sumbangan membantu masjid berkenaan boleh menghubungi Nazir Masjid Nurul Huda Puchong, Nasiruddin Mohamed di talian 0192711460 atau menerusi akaun Affin Bank Masjid Nurul Huda bernombor 1056 3000 1219
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!