'Itu rakaman lama simulasi kesiapsiagaan serangan provokatif' - JPA

Video tular merupakan rakaman lama simulasi kesiapsiagaan anggota keselamatan sekiranya berdepan dengan situasi serangan provokatif.
Video tular merupakan rakaman lama simulasi kesiapsiagaan anggota keselamatan sekiranya berdepan dengan situasi serangan provokatif.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menjelaskan video bertajuk "Tanya pasal kuarters je dah kena macam tu depan KSN" merupakan rakaman lama simulasi kesiapsiagaan anggota keselamatan sekiranya berdepan dengan situasi serangan provokatif.

Menerusi kenyataan pada Jumaat, JPA menyifatkan rakaman tersebut yang telah dimuat naik oleh sebuah portal dikongsikan dengan niat memainkan sentimen negatif terhadap kerajaan.

"JPA mengambil serius terhadap sebarang cubaan untuk melemahkan institusi perkhidmatan awam dengan memberi gambaran seolah-olah kerajaan tidak bertanggungjawab terhadap isu dan kebajikan pegawai awam di negara ini," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, orang awam dinasihati supaya tidak mudah terpedaya dengan maklumat yang dikongsikan bagi tujuan mencalarkan imej kerajaan dan perkhidmatan awam sebagai barisan hadapan negara.

"Tindakan dengan memuat naik sebarang kandungan palsu yang mengundang salah faham dan mengelirukan masyarakat boleh disabitkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 Seksyen 233 kepada yang terlibat," kata kenyataan itu.

Terdahulu tular rakaman video berdurasi 1:10 minit yang dimuat naik dengan membina persepsi seolah-olah pegawai awam yang bertanya kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali Itu telah dinafikan dan dihalang oleh sekumpulan polis bantuan, selepas bertanyakan mengenai status permohonan kuarters kerajaan yang masih belum diluluskan di dalam suatu majlis dihadiri oleh beliau.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!