Tempat simpanan sisa bahan kimia terbakar
SEREMBAN - Tempat logistik simpanan sisa bahan kimia berjadual di Pusat Kualiti Alam di sini terbakar dalam kejadian pada petang Jumaat.
Jurucakap bomba berkata, bomba menerima maklumat jam 5.58 petang dan sampai ke lokasi jam 6.16 petang.
"Balai Bomba dan Penyelamat dari Port Dickson, Seremban 2, Seremban dan Rantau dengan kekuatan keanggotaan seramai 66 pegawai dan anggota telah ke lokasi bagi memadam kebakaran.
"Sebaik sampai didapati memang berlaku kebakaran melibatkan tempat logistik (side A) simpanan sisa bahan kimia berjadual berkeluasan 100x100 kaki persegi musnah 100 peratus," katanya.
Menurutnya, api berjaya dikawal jam 8.18 malam dan kerja-kerja pemadaman masih dilakukan.
Bagaimanapun katanya, keadaan adalah terkawal dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan dijangka akan mengadakan sidang media bagi memaklumkan maklumat lanjut.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati polis tidak membenarkan sesiapa termasuk pihak media berada berhampiran kawasan berkenaan dengan melakukan sekatan jalan raya kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!