Wanita sesak nafas, rebah di Gua Kelam
KANGAR - Seorang wanita yang menghidap diabetes mengadu sesak nafas sebelum rebah ketika beriadah di Gua Kelam.
Pengarah Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Penguasa Kanan Bomba Satu (PgKB 1), Ruhisha Haris berkata, mangsa yang berusia 49 tahun datang bersama suaminya ke gua tersebut dari Kuala Perlis.
Katanya, mangsa tidak membawa bekalan air ketika melakukan aktiviti tersebut menyebabkan dia mengalami dehidrasi.
Menurutnya, ketika dalam perjalanan ke pusat rekreasi yang terletak di penghujung pintu gua sejauh 370 meter, mangsa mengadu sesak nafas.
"Suami mangsa kemudian menelefon talian kecemasan dan pihak bomba bergegas ke lokasi pada jam 3.04 petang," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Bomba Perlis hari ini.
Menurut Ruhisha, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Padang Besar yang tiba di lokasi membantu mengeluarkan mangsa menggunakan pengusung.
"Sesi menyelamat yang mengambil masa kira-kira sejam itu turut dibantu pihak polis, Jabatan Perhutanan dan juga dua anggota paramedik dari Hospital Tuanku Fauziah (HTF)," katanya.
Mangsa dilaporkan stabil dan dibawa ke HTF untuk rawatan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!