Ten Hag mahu penyerang baharu
PENGENDALI Manchester United, Erik ten Hag mengakui kehadiran penyerang baharu di kelab itu akan membantu United untuk tampil dengan persembahan lebih baik.
Anthony Martial bersedia meninggalkan United pada penghujung musim dengan kelab itu tidak berhasrat untuk mengaktifkan pilihan lanjutan setahun dalam kontrak pemain itu.
Ia menyaksikan hanya tinggal Rasmus Hojlund sebagai pemain nombor sembilan senior dalam skuad Ten Hag.
Kehilangan Martial akan menyaksikan tempohnya di United berakhir selepas sembilan tahun walaupun pemain berusia 28 tahun itu bergelut dengan kecederaan dan kekecewaan prestasi sepanjang empat tahun lalu.
Musim 2019-20 adalah musim terakhir dia mencatatkan lebih daripada 10 gol dalam semua pertandingan, menjaringkan 23 gol dalam 48 penampilan.
Martial juga gagal membuat lebih daripada 30 penampilan kelab dalam setiap tiga musim terakhir.
Martial tidak bermain untuk United sejak 9 Disember kerana menjalani pembedahan pangkal paha pada Januari.
"Ia tidak syak lagi bahawa kami bergantung kepadanya (Martial). Anda memerlukan dua penyerang dalam liga dan pertandingan yang diharungi," katanya.
United membawa masuk Hojlund daripada Atalanta pada musim panas dan penyerang Denmark itu berjaya menjaringkan 13 gol dalam 34 penampilan musim ini.
Apabila Hojlund dan Martial tidak dapat diturunkan, Ten Hag akan menggunakan Marcus Rashford sebagai penyerang tengah dengan Bruno Fernandes juga bertindak sebagai pemain nombor sembilan pada masa-masa tertentu.
“Saya rasa ia akan membantu,” jawab Ten Hag apabila ditanya sama ada United menandatangani penyerang musim panas ini sangat penting.
“Kami membina pasukan dan dan kami perlu mempunyai segala-galanya dengan mencukupi.
“Anda bergantung pada gol daripada Rashford — musim lalu dia mempunyai 30 gol — anda bergantung pada gol daripada Martial. Pada musim pertama saya, dia (Martial) bermain dengan sangat baik dan juga dalam perlawanan yang sangat penting dia memberi impak yang tinggi kepada persembahan kami," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!