[VIDEO] Dulu berniaga guna motosikal, kini miliki kilang sendiri

A
A
A

SEREMBAN - Bermula berniaga dari rumah ke rumah menggunakan motosikal, kini seorang pesara tentera boleh berbangga apabila mampu memiliki kilang memproses produk berasaskan soya sendiri.

Lebih membanggakan apabila perusahaan milik pasangan suami isteri Zuhaymee Mustapa, 54, dan Nor Aza Jais, 50, yang diusahakan sejak tahun 2017 itu masih berdiri teguh.

Malah produk keluaran syarikatnya, Mie Soya Enterprise iaitu air soya, taufufa, tauhu dan tempe turut mendapat permintaan ramai.


Zuhaymee dan Nor Aza menunjukkan produk tempe keluaran syarikatnya.
Zuhaymee dan Nor Aza menunjukkan produk tempe keluaran syarikatnya.

Menceritakan bagaimana penglibatannya itu, Zuhaymee berkata, dia belajar membuat air soya dan taufufa selepas tidak berpuas hati seorang pengusaha produk berkenaan memberitahu membuatnya adalah sukar.

"DIa cakap belajar susah, nak beli lagi senang. Dari situ saya cabar diri untuk buat dan belajar dengan tiga pengusaha soya.

"Selepas itu, saya buat penyelidikan dan pembangunan (R&D) sendiri dengan gabungkan ilmu dipelajari daripada tiga pengusaha itu sehinggalah terhasilnya produk saya sendiri," katanya kepada Sinar Harian ditemui di kilangnya di Taman Jujur di Sikamat di sini baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:


Zuhaymee dan Nor Aza kini boleh tersenyum dengan perniagaan produk berasaskan soya milik mereka.
Zuhaymee dan Nor Aza kini boleh tersenyum dengan perniagaan produk berasaskan soya milik mereka.

Ujarnya, tempoh enam bulan diambil untuk dia betul-betul berpuas hati dengan air soya dan taufufa dihasilkan.

Tambahnya, berbekalkan modal sebanyak RM4,000, dia membeli beberapa peralatan dan mesin pengisar untuk membuat produk terbabit dengan lebih serius.

"Kemudian saya cuba menjualnya dari rumah ke rumah dengan menunggang motosikal roda tiga dan turut mencuba nasib di pasar malam.

"Bukan mudah untuk saya tagih kepercayaan pelanggan kerana ramai beranggapan yang saya mengambil produk Cina memandangkan produk soya ini sinonim dengan kaum Cina," katanya.

Namun, Zuhaymee tidak menjadikan itu sebagai alasan dan terus melangkah setapak demi setapak dengan menghasilkan produk-produk lain berasaskan soya.


Tempe merupakan salah satu produk keluaran syarikat Zuhaymee.
Tempe merupakan salah satu produk keluaran syarikat Zuhaymee.

Mula mengusahakannya dari rumah, dia kemudiannya menyewa kedai di Taman Jujur di Sikamat pada tahun 2006.

Malah perniagaannya semakin berkembang selepas membuat keputusan menjadi usahawan di bawah Jabatan Pertanian.

"Banyak bantuan yang diterima bukan saja dalam bentuk geran, tapi juga kursus perniagaan yang dapat membantu saya mengembangkan perniagaan.


Pekerja Zuhaymee sedang membungkus tempe yang akan dijual kepada pelanggan.
Pekerja Zuhaymee sedang membungkus tempe yang akan dijual kepada pelanggan.

"Sebenarnya banyak insentif daripada kerajaan negeri dan kerajaan pusat, jadi rebutlah peluang yang ada ini," katanya.

Selain itu katanya, pelanggan Muslim khususnya tidak perlu bimbang kerana kesemua produk keluaran syarikatnya mendapat pengiktirafan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Katanya, produk-produknya melainkan air soya dan taufufa boleh diperoleh secara 'walk in' ke kilangnya atau dibeli di beberapa premis perniagaan di daerah ini.


Zuhaymee sedang menyusun tempe.
Zuhaymee sedang menyusun tempe.

"Pengeluaran produk kami setiap hari melainkan Ahad. Setiap hari, sebanyak 6,000 keping tempe dihasilkan, 2,000 tauhu putih, 2,000 tauhu lampung dan 200 tauhu goreng.

"Alhamdulillah, kami kini mempunyai empat pekerja tetap dan turut dibantu dua anak," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!