Umat Islam wajib patuh keputusan tarikh puasa, raya oleh kerajaan

Wan Salim
Wan Salim
A
A
A

GEORGE TOWN - Semua umat Islam wajib mematuhi keputusan yang dibuat oleh kerajaan dalam penentuan tarikh permulaan puasa Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, urusan seperti itu tidak harus ditentukan oleh orang perseorangan atau badan bukan kerajaan bagi mengelak kecelaruan dalam kalangan masyarakat Islam di sesebuah negara.

Menurutnya, bulan Hijrah sama ada 29 hari atau 30 hari yang mana permulaan bulan Ramadan atau hari raya ditentukan dengan melihat hilal atau anak bulan di balai-balai cerap di negeri-negeri seluruh Malaysia.

"Bagi tahun Hijrah 1445, hilal Syawal telah kelihatan di lima negeri iaitu Kedah, Perlis, Kelantan, Negeri Sembilan dan Labuan. Kaedah untuk menentukan kewujudan hilal atau anak bulan menurut syarak adalah menerusi penglihatan mata oleh orang yang dipercayai pada agamanya dan kekuatan penglihatannya.

"Kaedah ini berdasarkan sebuah hadis daripada riwayat Abu Hurairah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, "Hendaklah kamu berpuasa dengan melihat hilal dan berbuka (berhari raya) dengan melihatnya".

"Menurut fatwa Lajnah Da’imah yang berpusat di Jeddah, Arab Saudi, adalah harus berpegang kepada penglihatan hilal dengan bantuan teleskop untuk penentuan permulaan puasa Ramadan dan hari raya dengan syarat orang yang mengaku melihatnya adalah seorang yang dipercayai," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Wan Salim menambah, kepatuhan kepada pihak berkuasa atau wali amar adalah wajib kecuali jika disuruh melakukan maksiat.

"Penentuan waktu-waktu ibadat seperti permulaan bulan puasa dan hari raya bukan perkara maksiat, maka wajiblah rakyat mematuhi ketentuan yang telah diputuskan oleh kerajaan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan umat Islam di Malaysia menyambut Aidilfitri pada Rabu lalu.

Keputusan menetapkan Aidilfitri itu adalah berdasarkan kedudukan bulan yang memenuhi kriteria Imkanur-rukyah dan menurut hitungan falak, ijtimak (bulan baharu) Syawal.

Bagaimanapun, tular di laman sosial hantaran dimuat naik seorang individu yang mahu menggenapkan puasa 30 hari kerana anak bulan tidak dilihat dengan mata kasar.

Keputusan itu dibuat susulan penampakan bulan baharu itu tidak jelas ekoran cuaca buruk dan awan tebal, namun hantaran itu mengundang pelbagai reaksi hingga menimbulkan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial.

Dalam pada itu, Wan Salim meminta agar tindakan dikenakan mengikut undang-undang sedia ada kepada golongan yang masih berdegil.

"Golongan ini perlu diberi amaran supaya tidak mengulangi lagi perbuatan sedemikian.

"Sekiranya mereka terus berdegil pada masa hadapan, maka pihak berkuasa hendaklah mengenakan hukuman ke atas mereka berdasarkan undang-undang sedia ada," katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!