Kerajaan Perpaduan bincang peruntukan buat pembangkang 17 April ini

Fadillah ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran beliau di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) hari ini. Foto Bernama
Fadillah ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran beliau di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Tuntutan peruntukan oleh wakil rakyat pembangkang akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada 17 April ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, hal ini susulan pertemuan beliau dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Parlimen pada 19 Mac lepas.

"Dalam perjumpaan itu, pihak pembangkang mengatakan mereka mahu peruntukan dan apa saja syarat (untuk beri peruntukan) terserah kepada kerajaan (untuk ditetapkan).

"Saya maklum pada mereka perkara ini akan dibawa ke peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan untuk kita kemukakan apa yang dihasratkan oleh mereka,” katanya yang ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran beliau di sini hari ini.

Selain Hamzah, pertemuan bersama Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu turut disertai Ketua Whip Pembangkang Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Pada 24 Mac lepas, Fadillah dilaporkan berkata tidak wujud draf perjanjian berkaitan tuntutan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang dengan kerajaan Madani seperti didakwa oleh pemimpin Perikatan Nasional (PN) susulan pertemuan itu. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!