Sukarelawan kemanusiaan cedera dalam serangan Israel di Rafah
KUALA LUMPUR - Serangan terbaru tentera Israel di Rafah semalam mencederakan beberapa sukarelawan kemanusiaan yang sedang memunggah barangan bantuan Ops Ihsan.
Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan, Jismi Johari menerusi kenyataan berkata, serangan pada 5.30 petang waktu tempatan itu juga nyaris memusnahkan pek makanan dari Malaysia.
"Makanan asas ini akan dihantar ke utara Gaza di mana tahap kebuluran meningkat ekoran sekatan Israel ke atas bantuan kemanusiaan ke kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau yang juga Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) berkata semalam, fasa pertama penghantaran makanan dari kumpulan ketiga berjumlah 13,000 kotak makanan telah melepasi pintu masuk Gaza, tambahan kepada 33,000 pek yang dihantar sebelum ini.
"Ekoran tekanan antarabangsa akibat Israel menyerang sukarelawan World Central Kitchen, lebih 200 lori dibenarkan masuk sehari berbanding kurang daripada 100 sehari sebelum ini.
"Ini inisiatif di bawah Ops Ihsan yang dilaksanakan oleh MAHAR daripada dana Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) dan sumbangan awam,” katanya.
Semalam, Agensi Berita Anadolu melaporkan beberapa wartawan cedera dalam serangan tentera Israel yang menyasarkan Kem Pelarian Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza.
Wartawan lapangan daripada saluran TRT Arabic yang melaporkan mengenai serangan di Gaza antara yang tercedera dalam serangan itu.
Lebih 33,600 warga Palestin maut dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober tahun lepas.
Serangan Israel itu telah mengakibatkan 85 peratus penduduk Gaza hilang tempat tinggal selain menghadapi kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang akut sementara kebanyakan infrastruktur rosak atau musnah. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!