Pokok Sena alami gelombang haba, suhu capai 40 darjah Celcius
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran panas tahap kedua iaitu gelombang haba di Pokok Sena, Kedah dan 22 kawasan lain berada di tahap berjaga-jaga.
MetMalaysia menerusi hantaran di aplikasi X melaporkan, tahap gelombang haba itu boleh mencapai suhu maksimum harian yang melebihi 37 hingga 40 darjah Celcius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Kawasan lain yang mengalami cuaca panas berjaga-jaga adalah Perlis, Kedah (Pulau Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pendang, Yan, Kuala Muda, Timur Laut, Kulim, Bandar Baharu, Sik, Baling dan Padang Terap) dan Perak (Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Kinta).
Selain itu, Gua Musang, Kelantan dan Raub, Pahang juga merupakan dua kawasan yang mengalami cuaca panas tahap satu setakat jam 4.30 petang Sabtu.
Di Sabah pula, terdapat tiga kawasan yang mengalami cuaca panas tahap berjaga-jaga yang boleh mencecah suhu sehingga 37 darjah celcisu iaitu di Tuaran, Tenom dan Beaufort manakala di Sarawak ialah di Limbang.
Orang ramai boleh melayari https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/ untuk mengetahui maklumat terkini status cuaca panas harian.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!