Usaha ubah stigma, 7 wakil rakyat berbaju Melayu ke Parlimen Thailand
TUJUH ahli Parlimen Thailand berketurunan Melayu membuat kejutan apabila mengenakan busana baju Melayu ketika menghadiri sidang Parlimen negara itu pada 4 April lalu.
Ia sebagai salah satu usaha mereka untuk memartabatkan kebudayaan dan adat resam Melayu di Thailand, serta sebagai manifestasi untuk memberi sokongan bagi melindungi kebudayaan dan adat resam Melayu di negara majoriti Buddha itu.
Kesemua mereka merupakan wakil rakyat dari Parti Prachachart dari tiga wilayah majoriti Melayu di Selatan Thailand.
Langkah ini dianggap luar biasa memandangkan ia tidak pernah berlaku dalam sejarah Parlimen Thailand, dan pada masa sama, kod kebudayaan Thailand yang diperkenalkan pada 1932 melarang keras pemakaian baju-baju kebudayaan lain, selain yang diperkenalkan menerusi kod kebudayaan berkenaan.
Selain itu, tradisi berbaju Melayu juga berdepan dengan stigma kerana sering dikaitkan dengan kumpulan pemisah.
Kamolsak Liwamo yang juga ahli Parlimen yang mewakili wilayah Narathiwat, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang, Keadilan dan Hak Asasi Manusia Parlimen Thailand berkata, kesepakatan untuk mengenakan baju Melayu pada hari-hari terakhir Ramadan itu dibuat sebagai tindak balas kepada respons buruk yang diberikan oleh kerajaan susulan perhimpunan sempena Hari Raya Aidilfitri tahun lepas.
Pada perhimpunan berkenaan, pihak keselamatan membuka beberapa kertas siasatan kerana mengesyaki ada penglibatan kumpulan pemisah.
“Kita nak menjelaskan kepada pihak berkuasa, terutamanya pihak tentera dan polis bahawa pemakaian baju Melayu adalah sesuatu perkara biasa (dalam masyarakat Melayu) dan ia tidak melibatkan elemen aktiviti kumpulan pemisah,” tegas Kamolsak.
Kamolsak turut menceritakan mengenai maklum balas yang beliau terima sebaik sahaja memasuki Dewan Parlimen dengan baju Melayu lengkap.
Katanya, ramai kalangan ahli Parlimen dari wilayah lain yang berasa hairan dengan busana yang digayakan mereka pada hari berkenaan, malah ramai juga yang bertanya-tanya tentang pakaian mereka.
“Ramai wartawan juga merakamkan momen-momen kami berbaju Melayu di Parlimen.
"Saya juga berasa sangat terharu dan sebak kerana akhirnya baju Melayu kita dapat masuk ke Dewan Parlimen,” ceritanya.
Tambahnya, pihak Parti Prachachart turut akan menyertai perhimpunan besar yang akan dianjurkan sempena Hari Raya Aidilfitri pada hujung minggu ini dan berharap bahawa pihak keselamatan tidak lagi memandang serong acara ini.
Terdapat 13 wakil rakyat berketurunan Melayu yang mewakili wilayah Narathiwat, Yala, dan Pattani, di mana daripada jumlah berkenaan, tujuh adalah dari Parti Prachachart. - Awani
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!