Ilmu sebalik tirai besi
KAJANG - Menjalani kehidupan dalam penjara tidak mematahkan semangat Suzi (bukan nama sebenar) untuk berusaha memperbaiki diri.
Malah wanita kelahiran Kuching, Sarawak itu bertekad untuk mengubah kehidupannya setelah tamat menjalani hukuman penjara yang berbaki kurang setahun lagi.
Mengakui pernah melakukan kesilapan kerana terjebak dengan dadah, ibu kepada seorang anak itu mahu menjadikan pengalamannya di sebalik tirai besi sebagai permulaan kepada kehidupan yang lebih baik.
Memegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang terapi kecantikan, wanita itu bercita-cita untuk menawarkan perkhidmatan berkaitan selepas bebas kelak.
“Sebelum masuk penjara, saya ada kemahiran untuk buat urutan badan dan muka. Namun bila di sini (penjara), saya berpeluang untuk mengikuti SKM bidang ini.
“Ini adalah peluang terbaik untuk saya meneruskan kehidupan selepas keluar dari penjara. Saya mahu jadikan perkhidmatan urutan badan dan muka sebagai mata pencarian,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Suzi merupakan antara lapan banduan yang dibenarkan untuk menawarkan perkhidmatan terapi kecantikan di Spa Z yang beroperasi di Penjara Wanita Kajang.
Menurut wanita berusia 30 tahun itu, pengalaman memberikan perkhidmatan seperti urutan badan dan wajah kepada pelanggan sedikit sebanyak memberi keyakinan kepada dirinya untuk berdepan dengan masyarakat.
“Apabila saya melakukan urutkan kepada pelanggan yang kebanyakannya orang awam, saya dapat bina keyakinan menerusi komunikasi dan perkongsian cerita bersama mereka.
“Pengalaman itu boleh menjadi langkah pertama untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran di luar penjara supaya tidak kekok untuk berdepan dengan orang ramai.
“Pengalaman itu akan digunakan untuk meyakinkan pelanggan dengan perkhidmatan yang akan saya ditawarkan,” ujarnya.
Sementara itu, Pegawai Penjara Wanita Kajang, Nor Hasyimah Abdullah berkata, penghuni yang menjalani Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) berpeluang memantapkan kemahiran dengan menjalankan perkhidmatan secara praktikal di premis dalam penjara.
“Selepas tamat tempoh belajar antara enam hingga tujuh bulan, mereka dibenarkan untuk bekerja di Spa Z Penjara Wanita Kajang dan memberikan perkhidmatan kepada pelanggan luar.
“Banduan yang dibenarkan melakukan perkhidmatan berkaitan adalah golongan yang tempoh hukuman kurang daripada 18 bulan. Mereka dipantau oleh pegawai bertugas.
“Berbekalkan pengalaman bekerja di spa penjara, insya-ALLAH mereka dapat menyesuaikan diri dan memperbaiki kehidupan lebih baik,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!