Inspirasi di sebalik kisah Muhammad Nur Hadi

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

SEIRING dengan perkembangan teknologi masa kini, budaya membaca khususnya buku semakin terpinggir memandangkan rata-rata memilih untuk menggunakan gajet.

Namun, disebalik kepesatan arus kemodenan, ternyata masih ada golongan ulat buku yang sanggup berhabis duit semata-mata untuk membeli buku sebagai usaha untuk menambah ilmu pengetahuan.

Buktinya, seorang pelajar Malaysia di Universiti Al-Azhar, Mesir sanggup membelanjakan hampir RM20,000 wang simpanannya bagi mendapatkan 200 kitab turath atau kitab tradisi ilmu Islam karangan ulama alam Melayu dari sekitar 1920-an hingga 1960-an.

Akhbar ini melaporkan, Muhammad Nur Hadi Sallehuddin, 24, pelajar tahun akhir pengajian Usuluddin mula mengumpul khazanah berharga tersebut bermula awal 2020 yang kebanyakannya dicetak Mustafa al-Halabi, antara syarikat percetakan dan penjualan buku tertua di negara Timur Tengah itu.

Katanya, kitab yang sukar diperolehi itu sebahagian besar ditulis dalam tulisan Jawi dan Aceh merangkumi pelbagai disiplin ilmu Islam antaranya sejarah, tafsir, tajwid, fikah, tasawuf, hadis, akidah dan kamus Arab-Jawi.

Antara koleksi dalam simpanan Muhammad Nur Hadi ialah Kamus Idris Al-Marbawi nukilan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan pertama, Dr Syeikh Idris al-Marbawi, Doa Hari Arafah karya ulama Kelantan, Syeikh Jaafar Husein selain kitab ditulis ulama dari Indonesia dan Pattani.

Kegigihan yang ditunjukkan Muhammad Nur Hadi ini mungkin sebahagian daripada contoh rakyat yang cintakan ilmu.

Mungkin bagi sesetengah pihak memilih menggunakan duit simpanan untuk tujuan tertentu yang menjadi keperluan lebih penting.

Artikel Berkaitan:

Tetapi, sedarilah bahawa 'melabur' demi ilmu juga ada faedahnya bukan sahaja dapat menambah pengetahuan tetapi menjadikan seseorang itu lebih dihormati.

Kisah anak muda bernama Muhammad Nur Hadi diharap menjadi inspirasi kepada pihak lain untuk tidak lokek untuk berbelanja demi ilmu yang akan menjadi penyuluh hidup.

Diharap koleksi buku yang dimiliki pelajar berasal dari Taiping, Perak itu akan memberi manfaat kepada pihak lain seperti pengkaji sejarah, ahli akademik dan universiti.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!