Cetak batik eksklusif guna daun
PONTIAN - Siapa sangka, daripada daun yang tiada nilai mampu menjadi karya seni.
Itulah yang dilakukan oleh seorang pemuda yang menghasilkan kraf batik menggunakan teknik cetakan kreatif atau ecoprint.
Misbaahussalam Zakaria, 29, dari Taman Maju Emas, Api-api berkata, dia memulakan langkah bergelar usahawan kraf batik ecoprint sebaik sahaja menamatkan pengajian di Politeknik Ibrahim Sultan Pasir Gudang pada tahun 2019.
“Cetakan kreatif menggunakan daun dan bunga boleh menghasilkan warna semulajadi di atas kain. Hasil kajian yang dilakukan lebih 10 jenis daun dan bunga boleh menghasilkan warna semua jadi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bercerita mengenai proses pembuatannya, Misbaahussalam berkata, ia agak renyah namun hasilnya begitu eksklusif kerana hanya satu corak untuk fabrik yang dijadikan kemeja, tudung, baju, beg tangan dan sarung bantal.
“Daun akan dirawat dengan cara direndam dalam tawas dan bahan mineral tertentu selama semalaman. Daun akan disusun di atas kain bagi mendapatkan corak serta warna batik.
“Kemudian, kain akan digulung dan dikukus selama dua jam. Proses pengukusan akan mengeluarkan warna semula jadi daripada daun. Selesai kukus, kain akan berubah warna dan ia akan dibasuh menggunakan tawas. Seterusnya disidai hingga kering,” ujarnya.
Selain ketelitian katanya, mendapatkan bekalan daun menjadi cabaran kerana tidak semua daun diambil dari kawasan sekitar tetapi turut diperoleh dari luar Johor.
Berkongsi kenangan manis sepanjang bergelar usahawan batik ecoprint katanya, kemenangan menjulang Piala Seri Endon 2023 bagi kategori Kemasan Lembut antara yang tidak dapat dilupakan.
“Pertandingan yang begitu gah mengumpulkan pereka fesyen, penggiat seni dan usahawan batik seluruh negara, menjadi satu pengalaman cukup berharga buat saya yang masih setahun jagung dalam industri batik ini,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!