Permintaan rakan kini jadi jualan tambah pendapatan
JEMPOL - Bermula dengan permintaan rakan-rakannya untuk makan daging salai batang pinang dan ikan patin pais tempoyak air tangannya, kini seorang ibu empat anak menjadikan dua makanan itu sebagai pendapatan sampingannya sekeluarga.
Rafydah Ruslan, 44, berkata, dengan label nama Dapur Ibu Jilah, resipi ikan patin pais tempoyak diolah dengan pes versi Negeri Sembilan.
“Pada awalnya, saya hanya masak untuk keluarga selain rakan-rakan ketika waktu keramaian. Berikutan ada permintaan selepas itu, saya jual kecil-kecilan sebelum kini jadi pendapatan sampingan.
“Ia secara tidak langsung dapat berkongsi keenakan masakan Negeri Sembilan seperti masak lemak cili api daging batang pinang dan ikan patin tempoyak versi Negeri Sembilan,” katanya kepada Sinar Ahad.
Katanya, daging batang pinang dipilih untuk produk salainya kerana yakin dengan kualitinya selain mudah empuk ketika dimasak.
“Berbeza dengan pes ikan patin tempoyak, saya olah resipi asal dengan menambah rasa pedas mengikut permintaan selera orang Negeri Sembilan.
“Resipi asalnya daripada kenalan saya iaitu anak jati Kampung Kuala Kerdau, Pahang, Ustaz Mohamed Asri Abu Hanipah yang mengajar saya untuk membuat ramuan pes pais patin tempoyak,” katanya.
Dalam pada itu katanya, perusahaan daging salai yang diusahakan sejak pertengahan tahun 2018 mendapat bantuan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).
“Modal bagi ikan patin tempoyak yang diusahakan sekitar tahun 2019 pula daripada saya sendiri selain proses pembuatan kedua-dua produk ini dilakukan di ruang dan tanah kosong berhampiran kediaman saya dibantu suami, Mohd Fadhli Hassan dan anak-anak,” katanya.
Selain dua produk berkenaan, dia turut menjual beluluk sira yang sememangnya menjadi pilihan dan kegemaran masyarakat di Negeri Sembilan dengan harga RM7 sebekas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!