Manchester City kembali ke puncak EPL
PENYANDANG juara Manchester City mengukuhkan cengkaman pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas membelasah kelab kerdil Luton Town 5-1 di Stadium Etihad pada Sabtu.
Manchester City telah melakukan lima pertukaran terhadap skuad yang melakar kemenangan 4-2 ke atas Crystal Palace sebelum ini, manakala Luton Town telah membuat dua perubahan daripada kesebelasan utama yang menjinakkan Bournemouth, 2-1.
Anak-anak buah Pep Guardiola hadir dengan corak permainan tekanan tinggi terlebih dulu mengatasi angkatan Rob Edwards menerusi jaringan sendiri pemain pertahanan pelawat Daiki Hashioka minit kedua permainan bagi memimpin separuh masa pertama.
Separuh masa kedua, The Citizens menambah empat gol lagi menerusi Mateo Kovačić (m-64), penalti Erling Haaland (m-76), Jérémy Doku (m-87) diikuti penamat Joško Gvardiol (m-93).
Bekas bintang England yang memulakan karier senior bersama Everton, Ross Barkley mengurangkan defisit dengan gol minit ke-81 untuk kedudukan 5-1 yang menyaksikan Manchester City mengakhiri Sabtu di tangga teratas manakala Luton kekal di tiga terbawah EPL.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!