Nampak dua kelongsong peluru di lantai - Saksi
KUALA LUMPUR - Suasana panik tercetus ketika kejadian tembakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 1.30 pagi Ahad.
Menceritakan kejadian itu, saksi awam, Noor Un Nissah berkata, dia kebetulan berada di tempat kejadian dan terdengar bunyi letupan yang kuat disusuli dengan orang ramai bergegas keluar dari pintu ketibaan KLIA.
"Saya terdengar beberapa das tembakan dan nampak dua kelongsong peluru di lantai, namun kami tidak dibenarkan ambil gambar oleh pegawai yang bertugas.
"Kemudian saya nampak ambulans tiba namun tidak nampak individu yang cedera, tetapi saya difahamkan terdapat seorang lelaki terkena tembakan yang dilepaskan," katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, Noor Un Nissah berkata, dia bergegas beredar dari tempat kejadian kerana bimbang akan keselamatan dirinya.
Pada Ahad, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kejadian tembakan yang berlaku di KLIA 1.
Siasatan lanjut mendapati suspek sebenarnya mahu melepaskan tembakan ke arah isterinya yang berada di situ.
"Ketika kejadian, isteri suspek dipercayai sedang menunggu kepulangan jemaah umrah. Individu itu bertindak melepaskan tembakan ke arah isterinya sebelum terkena pengawal peribadi.
"Identiti suspek telah dikenal pasti dan operasi mengesannya sedang giat dijalankan dan siasatan lanjut mendapati suspek dipercayai melarikan diri ke utara," katanya dalam satu kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!