Fernandes selamatkan United di Bournemouth
KAPTEN Manchester United, Bruno Fernandes muncul wira apabila jaringannya membantu The Red Devils bangkit mengikat Bournemouth dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Vitality pada Ahad.
Red Devils kendalian Erik ten Hag hadir ke laman keramat The Cherries dengan misi tiga mata bagi mengintai kembali slot ke pentas Liga Juara-Juara terlebih dulu dikejutkan jaringan Dominic Solanke minit ke-16.
Namun voli Fernandes memadam kelebihan tuan rumah menerusi sentuhan minit ke-31 sebelum penyudah Justin Kluivert minit ke-36 memastikan anak-anak buah Andoni Iraola memimpin separuh masa pertama.
Separuh masa kedua intensiti perlawanan semakin tinggi menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengasak memburu jaringan masing-masing.
Namun tuah milik United apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pertahanan Bournemouth, Adam Smith.
Peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya United untuk mengikat Bournemouth apabila dengan tenang disempurnakan Fernandes pada minit ke-65 untuk gol kedua peribadi dalam perlawanan tersebut.
Bournemouth berpeluang menambah membawa pulang tiga mata apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti selepas itu, namun semakan semula video bantuan pengadil (VAR) menafikan hasrat tuan rumah pada minit ke-97 tersebut.
Keputusan itu menyaksikan United gagal menebus kekalahan 0-3 kepada Bournemouth dalam perlawanan di Stadium Old Trafford pada 9 Disember lalu.
United selepas ini akan ke Stadium Wembley berdepan kelab Coventry City bagi perlawanan separuh akhir Piala FA pada 21 April depan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!