Kebakaran hutan: Aset kerajaan perlu gunakan bukan disimpan

Aireroshairi (kiri), Laporan Sinar Harian
Aireroshairi (kiri), Laporan Sinar Harian
A
A
A

KUANTAN - Pas Pahang menggesa agar pihak kerajaan menyambut titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar aset udara digunakan bagi menyelesaikan masalah kebakaran hutan yang berlaku.

Ketua Penerangannya, Aireroshairi Roslan berkata, kerajaan perlu bertindak dengan lebih cekap dan menggalas tanggungjawab yang telah diberikan ini.

Beliau turut menjunjung kasih di atas keprihatinan dan cadangan Al-Sultan Abdullah supaya menggunakan aset udara untuk mengatasi masalah itu.

"Sudah berhari-hari para petugas dan penyelamat menggembleng tenaga untuk memadamkan kebakaran hutan yang terjadi. Sudah tiba masa pihak kerajaan mengambil langkah yang lebih agresif dalam menyelesaikan isu ini.

"Jangan sampai nasi dah jadi bubur, baru kita nak ambil tindakan. Gunakanlah aset yang kita ada untuk keharmonian dan keselamatan negara dan bukannya sekadar untuk disimpan," katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya pada Sabtu.

Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah mencemar duli berangkat meninjau proses pemadaman api kebakaran hutan sejak beberapa hari lalu dan mendapatkan taklimat Pos Kawalan Bomba di Inderapura Jaya di sini.

Baginda turut menitahkan beberapa tindakan yang perlu diambil bagi menangani kebakaran hutan dengan segera seperti kaedah menjatuhkan air dari udara menggunakan helikopter.

Aireroshairi bagaimanapun menjunjung kasih di atas keprihatinan Al-Sultan Abdullah terhadap masalah tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, Pas Pahang menzahirkan rasa syukur kepada ALLAH SWT atas nikmat hujan yang turun.

"Mudah-mudahan hujan yang turun ini dapat memberikan kebaikan kepada kita semua.

Tidak lupa juga ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak bomba kerana telah bertungkus-lumus memadamkan kebakaran dan menjalankan tanggungjawab dengan sangat baik" katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!