Lima beranak nyaris maut kereta dinaiki jatuh gaung
HULU SELANGOR - Lima beranak nyaris maut apabila kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terjatuh gaung sedalam 30 meter dalam kejadian di Jalan Kuala Kubu Bharu dekat sini pada Ahad.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian terbabit pada jam 9.41 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Kejadian melibatkan sebuah kereta jenis Proton Satria dinaiki pasangan suami isteri berumur lingkungan 30-an dan tiga anak mereka berumur antara enam hingga 14 tahun.
"Kenderaan dinaiki mereka dipercayai terbabas sendiri sebelum terjatuh ke dalam gaung berkedalaman 30 meter di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, anggota bomba bertugas kemudiannya menjalankan kerja mengeluarkan kesemua mangsa yang terlibat.
"Mangsa didapati mengalami kecederaan ringan sebelum dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk rawatan lanjut," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!