Melebur wang untuk melabur pahala

A
A
A

BARU-BARU ini, tular video dan berita di akhbar-akhbar, televisyen dan media sosial mengenai Masjid Temerloh Jaya.

Ia menarik kerana kejayaannya menghimpunkan jemaah yang begitu ramai untuk mendirikan solat Subuh hingga melimpah ke luar ruang masjid. Ramainya jemaah di masjid itu diumpamakan sama seperti mereka bersolat Jumaat.

Masjid yang mula dibuka pada tahun 2010 itu nampaknya akan terus menjadi tempat tumpuan mereka yang berada di kawasan sekeliling dan juga dari jauh.

Bagi kariah di situ, hati mereka telah terpaut hingga sentiasa ingin menunaikan ibadah di masjid itu. Untuk yang datang dari luar daerah termasuk dari luar negara, mereka ingin menjiwai aura dan belajar cara masjid itu diuruskan hingga berjaya menarik sebegitu ramai jemaah.

Masjid yang menerima jolokan Masjid TJ itu tidaklah besar. Ia hanya boleh memuatkan kira-kira 400 jemaah di ruang solat utamanya. Namun, ahli-ahli jawatankuasa yang memikul amanah menyelenggara masjid itu telah mengurusnya secara moden.

Selain daripada ibadah khusus, mereka turut menganjurkan pelbagai program seperti ceramah, kuliah, mengaji dan juga aktiviti untuk golongan wanita seperti kelas memasak.

Mereka menjaga masjid dengan baik. Tandasnya pun wangi seperti kata penceramah bebas, Datuk Hassan Ali dalam sebuah video yang tular.

Semua itu tidak mungkin dicapai tanpa penglibatan ahli-ahli jawatankuasanya yang berusaha dan berkempen melalui media sosial, khutbah Jumaat termasuk berkunjung dari rumah ke rumah untuk memanggil para kariah memakmurkan masjid.

Artikel Berkaitan:

Malah, para jemaah begitu bermurah hati untuk masjid itu. Dikatakan, apabila pihak masjid ingin mengganti karpet, dalam tempoh tiga minggu sejumlah RM120,000 telah terkumpul.

Namun, di sebalik semua kisah yang baik itu, adakah masjid lain yang ingin mencontohi masjid ini? Khabarnya, terdapat beberapa jawatankuasa masjid dari daerah dan negeri lain yang ingin belajar modus operandi masjid Temerloh Jaya ini. Jumlahnya tidak banyak.

Seharusnya, jumlah jemaah di masjid itu meningkat dua kali ganda kerana dipenuhi oleh ahli-ahli jawatankuasa masjid dari pelbagai negeri di seluruh negara yang datang untuk menimba ilmu pengurusan masjid.

Barangkali banyak juga jawatankuasa masjid yang punyai kaedah yang tersendiri menguruskan masjid mereka. Jika begitu, baguslah.

Jangan pula seperti sesetengah masjid yang berbangga memaparkan jumlah kutipan mingguan yang bernilai berbelas ribu ringgit tetapi mereka tidak berbelanja untuk pemuliharaan masjid.

Ada masjid yang hanya cantik di ruang solat tetapi tandasnya membantutkan kita melepas hajat kerana kondisinya. Ada tandas-tandas masjid yang rosak pam tandasnya dan selipar-selipar yang berlendir.

Wang sedekah ke masjid adalah untuk kegunaan kelengkapan masjid. Wang itu bukannya untuk simpanan hingga puluhan dan ratusan ribu ringgit. Untuk apa laporan kewangan mesyuarat jawatankuasa masjid mencatatkan jumlah simpanan malah pelaburan yang banyak?

Maaf cakap, lazimnya mereka yang terpilih menjadi bendahari adalah terdiri daripada profesional dalam bidang akaun dan perniagaan. Orang perakaunan dan perniagaan mempunyai mindset mengumpul dengan banyaknya. Jumlah banyaknya terkumpul itulah petanda kejayaan. Maaf cakap lagi, tidakkah itu mentaliti kapitalis?

Seharusnya kejayaan sesebuah masjid itu diukur daripada jumlah yang dibelanjakan. Lagi banyak yang diinfaqkan itulah yang lebih bagus.

Bendahari masjid seharusnya dipilih daripada kalangan mereka yang aktif dalam NGO ataupun profesional dalam bidang sumber manusia. Mereka ini mudah mengatur perbelanjaan, bukannya menambah harta simpanan. Biar wang dilebur, asalkan pahala terlabur.

Jumlah banyaknya terkumpul itulah petanda kejayaan. Maaf cakap lagi, tidakkah itu mentaliti kapitalis?"

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!