Anak menyusul 'pergi' selepas tujuh hari bertarung nyawa

Jenazah kanak-kanak itu selamat dikebumikan semalam bersebelahan pusara ibu bapanya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Panjang dekat Padang Rengas pada Sabtu. Foto Ihsan keluarga
Jenazah kanak-kanak itu selamat dikebumikan semalam bersebelahan pusara ibu bapanya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Panjang dekat Padang Rengas pada Sabtu. Foto Ihsan keluarga
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Anak bongsu pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Kilometer 51.3 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Titiwangsa dekat Gerik pada 7 April lalu disahkan meninggal dunia.

Nur Arissa Sofia Kamizan, 3, yang sebelum ini dilaporkan parah meninggal dunia jam 2.39 pagi pada Sabtu di unit penjagaan paliatif (PCU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Jumlah keseluruhan mangsa yang maut dalam nahas melibatkan kereta Proton Persona dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova tersebut adalah seramai empat orang setakat ini.

Dalam kejadian sekitar jam 12.20 tengah hari itu, Kamizan Kasimon, 42, yang menaiki kereta dan isteri, Noor Asmah Mat Zainal, 38, meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu MPV, Aminuddin Othman, 54, turut disahkan meninggal dunia jam 11.20 malam hari kejadian ketika menerima rawatan di Hospital Taiping.

Sepupu kepada Noor Asmah, Nurhidayah Mohamad Azir, 34, berkata, jenazah kanak-kanak itu selamat dikebumikan semalam bersebelahan pusara ibu bapanya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Panjang dekat Padang Rengas.

"Keadaan Arissa sepanjang tujuh hari rawatan sangat kritikal apabila mengalami pendarahan otak selain kegagalan paru-paru dan buah pinggang.

"Kami telahpun dimaklumkan untuk bersedia akan sebarang kemungkinan, ternyata ALLAH lebih menyanyanginya," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, seorang lagi anak pasangan itu yang terbabit dalam nahas sama, Muhammad Ammar, 10, sudah mula menunjukkan perkembangan positif.

"Alhamdulillah Ammar sudah sedar, cuma dia perlu jalani satu pembedahan di kakinya selepas ini," katanya.

Media melaporkan perjalanan balik kampung untuk menyambut Aidilfitri bertukar tragedi apabila sepasang suami isteri maut selepas kereta dinaiki bersama dua anak mereka terbabit kemalangan membabitkan dua kenderaan di sini.

Nahas berlaku ketika Proton Persona dinaiki sepasang suami isteri dan dua anak mereka hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah MPV dinaiki enam sekeluarga.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!