Rumah bekas pemandu Wan Azizah ditimpa pokok kelapa sawit
TAIPING - Sebuah keluarga reda terpaksa beraya dalam keadaan serba sederhana apabila rumah mereka di Kampung Sungai Lubok, Trong di sini ditimpa pokok kelapa sawit dua hari sebelum Aidilfitri.
Baderol Hisam Mohd Yusoh, 51, berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 12 tengah hari pada 8 April lalu menyebabkan bahagian dapur rumahnya rosak.
Ketika kejadian, dia bersama isteri berada di rumah manakala anak-anaknya tiada di rumah.
"Masa kejadian itu saya tengah tidur. Tiba-tiba dengar bunyi dentuman macam bom meletup. Saya lari ke belakang rumah tengok dapur kena hempap pokok.
"Mujurlah tiada kecederaan apa-apa. Cuma bahagian dapur sahajalah yang rosak teruk," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Lubok, Trong di sini pada Ahad.
Baderol Hisam yang merupakan bekas pemandu isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pokok setinggi 13 meter itu rebah secara tiba-tiba kerana semasa kejadian cuaca cerah dan tidak berangin.
Katanya, kerosakan dialami agak serius kerana bahagian dapur terbuka dan belum dapat dibaiki disebabkan kos yang tinggi.
"Saya cuma harap ada pihak yang sudi membantu sebab sekarang saya bekerja sendiri. Kalau nak sumbangkan barang-barang binaan pun boleh, saya boleh buat sikit-sikit.
"Sekarang ini saya tawakal sahaja. Kalau hujan memang habis basah. Tadi pun ada anak ular dah masuk dalam rumah," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal yang meninjau keadaan rumah tersebut mengumumkan bantuan RM10,000 bagi tujuan baik pulih rumah berkenaan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!