Israel dakwa serangan terbaharu Iran 'gagal'

Israel mendakwa memintas 99 peratus dron dan peluru berpandu Iran memasuki wilayah itu. - AFP
Israel mendakwa memintas 99 peratus dron dan peluru berpandu Iran memasuki wilayah itu. - AFP
A
A
A

BAITULMAQDIS - [DIKEMAS KINI] Serangan semalaman Iran yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel telah 'digagalkan' kata tentera Israel pada Ahad ketika ratusan peluru berpandu dan dron berjaya dipintas Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya.

Proksi dan sekutu Iran turut melakukan serangan seumpamanya di beberapa kedudukan Israel yang menyaksikan mereka membunyikan siren amaran dan wartawa AFP mendengar letupan di ruang udara Baitulmaqdis pada awal pagi Ahad.

Iran telah berulang kali mengancam untuk membalas dendam terhadap Israel atas serangan udara pada 1 April ke atas bangunan konsulat Damsyik, Syria dan Washington telah memberi amaran dalam beberapa hari kebelakangan ini bahawa serangan balas itu akan berlaku.

Pada lewat malam Sabtu, tentera Israel menyatakan Iran telah melancarkan 300 dron, peluru berpandu dan jelajah ke wilayahnya.

Benjamin Netanyahu mengadakan mesyuarat dengan Kabinet Perang di Kirya di Tel Aviv selepas Iran melancarkan serangan di wilayah itu. AFP
Benjamin Netanyahu mengadakan mesyuarat dengan Kabinet Perang di Kirya di Tel Aviv selepas Iran melancarkan serangan di wilayah itu. AFP

Tentera Israel pula telah mengerahkan puluhan jet pejuang memintas 'ancaman udara' dan bekerjasama dengan AS dan sekutu lain bagi menghentikan ancaman tersebut.

Pada awal pagi Ahad, tentera Israel mengumumkan sebanyak 99 peratus serangan berjaya dipintas.

“Serangan Iran telah digagalkan,” kata jurucakap tentera Laksamana Muda, Daniel Hagari dalam satu kenyataan di televisyen.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, agensi keselamatan Ambrey berkata, sekutu Iran di rantau itu menyertai serangan tersebut termasuk kumpulan pejuang Houthi yang disokong Teheran di Yemen.

Manakala kumpulan pejuang Hizbullah mengumumkan telah menembak roket ke beberapa kedudukan Israel di Bukit Golan.

Pada masa sama, misi Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kepada Washington supaya menjauhi konflik Iran dengan Israel.

"Ia adalah konflik antara Iran dan rejim Israel yang mana AS perlu menjauhi konflik ini," katanya. - AFP

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!