Tiada kejadian rompak bersenjata, itu 'posting' 2018 - Polis
PAPAR - Polis Papar menafikan berlaku kejadian rompakan bersenjata sehingga menyebabkan mangsa cedera di jalan masuk sebuah institut kemahiran di Kinarut.
Sebaliknya kejadian yang tular itu dipercayai berlaku pada 2018 namun diulang siar dan dikongsikan di aplikasi WhatsApp sejak Ahad.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka berkata, perkara yang tular itu dilaporkan pada 2018 menerusi satu hantaran di Facebook.
"Tiada kejadian rompakan berlaku sebaliknya mesej itu adalah dari tahun 2018," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Dalam mesej tersebut mendakwa kejadian rompak dan pukul berlaku di kawasan jalan yang gelap di mana mangsa dihalang oleh seseorang yang tiba-tiba melompat di hadapan kereta sehingga menyebabkan mangsa menekan brek secara mengejut.
Dalam kejadian itu, cermin kereta mangsa didakwa dipecahkan sebelum dipukul selain barang peribadi termasuk duit dan beg kerja dirompak.
Mangsa yang didakwa mengalami kecederaan di bahagian belakang dan calar disebabkan objek tajam bergegas ke Balai Polis Kinarut untuk membuat laporan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!