Suami isteri maut nahas dua kenderaan
KOTA BELUD - [DIKEMAS KINI] Sepasang suami isteri maut selepas terlibat kemalangan dua kenderaan di Jalan Bukit Kelawat, di sini pada malam Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam, kedua-dua mangsa masing-masing berusia 28 tahun maut tersepit dalam kereta Proton Wira dinaiki mereka.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintenden Shahrudin Mat Husain berkata, hasil siasatan mendapati kereta yang dipandu mangsa lelaki bersama isterinya menghala dari arah Tuaran ke Kota Belud manakala pacuan empat roda dipandu oleh seorang lelaki berusia 33 tahun.
"Mangsa dipercayai bertindak memotong pacuan empat roda ketika menuruni jalan berbukit, namun telah hilang kawalan dan terbabas sendiri lalu melanggar penghadang besi jalan sebelah kiri dan merempuh pembahagi jalan konkrit sebelah kanan jalan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Shahrudin berkata, dalam masa sama pacuan empat roda cuba mengelak, namun jarak yang terlalu dekat menyebabkan berlakunya perlanggaran dengan kereta mangsa.
"Akibat kejadian itu, pemandu dan isterinya maut di lokasi kejadian manakala pemandu pacuan empat roda tidak mengalami kecederaan.
"Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Kota Belud untuk tindakan selanjutnya.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!