Penduduk Cina buka jalan, bantu orang Melayu pulang ke ibu kota

Laluan yang dilalui oleh Zairul- Keratan video yang dikongsi oleh Zairul Annuar di Facebooknya.
Laluan yang dilalui oleh Zairul- Keratan video yang dikongsi oleh Zairul Annuar di Facebooknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pengguna media sosial melahirkan rasa terharu dengan sikap penduduk Cina di Daerah Ladang Bikam, Perak, yang membuka jalan baharu dengan jentolak semata-mata untuk memudahkan orang Melayu balik semula ke ibu kota selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut Zairul Annuar, dia begitu kagum dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh penduduk Cina di kawasan berkenaan.

Berkongsi di Facebook, Zairul berkata, kisah itu bermula apabila dia menggunakan aplikasi Google Maps (GM) dari Perak untuk pulang menuju ke Kuala Lumpur.

"Awalnya kami menggunakan lebuhraya dari Simpang Pulai untuk menuju ke arah Selatan. Namun oleh kerana jalan terlalu sesak, kami terpaksa masuk semula melewati susur Gopeng untuk menggunakan jalan dalam.

"Sewaktu menghampiri daerah Ladang Bikam, aplikasi GM memaklumkan ada kesesakan teruk di hadapan laluan berkenaan. Tanpa berfikir, saya langsung setuju kerana melihat jalur merah (sesak) yang panjang di aplikasi," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Jelasnya, perjalanannya menggunakan GM sungguh lancar, bagaimanapun aplikasi tersebut telah membawanya untuk menggunakan jalan kampung yang akhirnya membawa dia dan isteri tiba di sebuah kawasan perumahan kecil.

"Selepas melewati perumahan itu, kami sampai di jalan yang tidak berturap, masuk ke ladang kelapa sawit yang gelap.

"Kami melanjutkan juga perjalanan perlahan-lahan. Kelihatan beberapa kereta dari arah bertentangan dan mereka berhenti di samping kami, sambil memberitahu jalan di hadapan tak dapat digunakan. Mereka mengarahkan kami agar berpatah balik. Semua kereta dibelakang kami juga diminta melakukan perkara yang sama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, "Setelah berpatah balik, kami telah sampai semula ke kawasan perumahan tadi. Tiba-tiba kereta kami diberhentikan oleh sekumpulan lelaki berbangsa Cina."

Ujarnya, lelaki Cina berkenaan meminta dia supaya tidak berpatah balik, kerana dia dan sekumpulan penduduk Cina yang lain akan membantu untuk membuka jalan baharu.

"Mereka telah sama-sama berpakat untuk membantu melancarkan perjalanan kenderaan yang melewati kawasan perumahan mereka. Pada masa yang sama kami lihat sebuah jentolak bergerak laju melepasi kami dari arah bertentangan.

"Kami pun berpatah balik semula ke arah jalan tadi seperti yang diarahkan. Sebaik sampai di tempat itu, jalan telah hampir siap untuk dilalui," katanya.

Menyimpulkan kisahnya, akhirnya dia tiba di ibu kota dengan selamat dan menzahirkan ucapan terima kasih di atas sikap baik penduduk Cina berkenaan.

"Penduduk Cina di sini ada sikap peduli mahu membantu kelancaran perjalanan orang-orang Melayu pulang dari kampung menuju ke Kuala Lumpur.

"Mereka keluar rumah sama-sama bergotong royong.Hebat orang-orang Cina Perak. Luar biasa!Ini barulah bangsa Malaysia," katanya.

Sumber: https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=10228799360402564&id=1644823865&mibextid=WC7FNe&rdid=NGUXuWYKQEgaJY8Z

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!