Suami sakit saraf, isteri jual kek jeli 3D sara keluarga
SHAH ALAM - Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.
Pepatah itu sesuai digambarkan buat seorang wanita, Maryam Ismail, 34, yang mengusahakan kek jeli 3D dari rumah selepas suaminya yang bekerja sebagai jurutera menghidapi komplikasi kesihatan.
Ia bermula bagi membantu kewangan keluarga kerana suaminya kerap dimasukkan ke hospital akibat masalah saraf (cervical and lumbar facet syndrome), namun kini menjadi sumber pendapatan utama.
Perniagaan kecil berkenaan bermula September 2019 dan kemudian berkembang perlahan-lahan sehingga kini.
“Ketika suami disahkan sakit saraf, saya bagaikan hilang arah. Saya terpaksa mencari idea untuk mendapatkan wang.
"Saya tidak mahu susahkan keluarga dan sahabat sebab itu saya perlu bertindak,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, selepas mengikuti kelas pembuatan kek jeli 3D di Kolej Komuniti Bandar Penawar, Kota Tinggi, dia mengasah kemahiran dengan berpandukan video YouTube dan juga latihan amali.
Ujarnya, masa banyak dihabiskan untuk melatih diri dan menonton pelbagai video YouTube, khususnya daripada China dan Vietnam kerana kek tersebut popular di negara berkenaan.
“Beberapa bulan selepas itu, saya mula yakin untuk mengambil tempahan daripada seorang rakan, selepas itu rezeki semakin bertambah dari hari ke hari.
“Teknik yang digunakan untuk membuat kek ini adalah secara suntikan di mana setiap corak dan warna dilakar adalah melalui teknik suntikan, jika coraknya banyak dan rumit maka tempoh pembuatannya lebih lama,” ujarnya.
Tambah Mariam, pada mulanya dia mengambil masa dua atau tiga jam untuk menyiapkan satu kek jeli 3D bersaiz kecil, namun kini dia mampu menyiapkan satu kek jeli 3D dalam 30 minit.
“Syukur alhamdulillah, pada waktu suami sakit saya boleh bantu dari segi kewangan menanggung perubatannya sekali gus perbelanjaan rumah dan dua anak,” katanya.
Menurut wanita tabah itu, walaupun sakit, suaminya merupakan individu paling memberi sokongan moral kepadanya lagi-lagi ketika jualan merosot.
Tambahnya, sudah menjadi adat hidup orang bisnes, dia terpaksa mengharungi cabaran dan dugaan.
Jelas graduan lulusan Universiti Sains Malaysia itu lagi, bagaimanapun dia amat bersyukur atas sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan.
Sementara itu, suaminya, Mohd Farkhan Yahya, 39, pula berkata, keputusan berhenti kerja perlu dibuat kerana penyakit yang dihidapi menyebabkan dia terpaksa kerap kali cuti.
“Bermula daripada itu, kami fokus perniagaan ini melalui media sosial.
“Alhamdulillah sambutan sangat baik dan kini, kami terima secara purata tidak kurang 100 tempahan,” ujarnya.
Kata Mariam lagi, perniagaannya turut mengalami jatuh bangun sepanjang lima tahun beroperasi.
Katanya, pada tahun negara dilanda ancaman Covid-19, mereka juga berdepan pelbagai masalah dan cabaran dalam urus niaga.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!