Sedih terkenang arwah suami, isteri nekad pindah rumah demi anak
IPOH - Kehilangan suami tercinta dalam tragedi menyayat hati tiga bulan lalu menjadikan seorang wanita lebih kuat dan tabah menjalani kehidupan.
Aidilfitri kali ini menjadi tahun pertama buat Nursyakinah Abdul Ghani, 34, bersama anak mereka, Mohamad Haziq Fitri Razis, 13; Muhammad Fitri Hakim, 10; Fatin Nur Aina, lapan tahun dan Nur Khayla Damia, 10 bulan menyambut perayaan itu tanpa insan tersayang.
Suami tercinta, Razis Ismail, 41, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ditemui meninggal dunia selepas dipercayai dibunuh di tapak perkhemahan dekat Gunung Lang di sini pada 3 Januari lalu.
Tidak mahu terus dirundung kesedihan, Nursyakinah bertindak nekad untuk keluar dari rumah yang didiami mereka sejak 2016 agar anak-anaknya itu lebih kuat.
“Banyak kenangan manis di rumah itu. Selalu teringatkan arwah suami kerana dia banyak membantu ringankan kerja rumah seperti memasak dan mengemas.
“Apabila teringat saya akan menangis dan keadaan itu menyebabkan anak-anak turut mengalirkan air mata teringatkan bapa mereka tambahan pula mereka sangat rapat dengan arwah,” katanya.
Menurut ibu tunggal itu, dia dan empat anaknya kini menyewa di sebuah rumah di Flat Tambun sejak sebulan lalu.
“Walaupun tidak jauh dari rumah lama, ia sekurang-kurangnya membantu anak menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.
“Kesian lihat mereka sering menangis hinggakan termimpi-mimpi. Disebabkan itu, saya mahu kuat depan anak-anak. Kenangan bersama arwah itu biar saya simpan dalam hati,” katanya.
Nursyakinah berkata, Aidilfitri kali ini disambut secara sederhana dengan memilih tema berwarna hitam.
Dalam pada itu menurutnya, bagi menampung kehidupan, dia memilih untuk kembali aktif menjual aiskrim Malaysia yang dijalankan secara kecil-kecilan dari rumah selain menerima faedah pencen penakat sebanyak RM1,552 sebulan.
“Sebelum ini saya jual hanya untuk menampung perbelanjaan keluarga ketika arwah bekerja.
“Selepas pemergiannya saya hilang semangat tetapi saya akan teruskan berniaga kerana anak-anak makin membesar, banyak keperluan lain yang perlu dibeli,” katanya.
Pada 3 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan seorang pengawal keselamatan ditemui meninggal dunia dipercayai dibunuh di sebuah tapak perkhemahan di Gunung Lang di sini.
Keadaan mangsa disedari orang awam sebelum memaklumkan kepada polis sekitar jam 2.30 pagi.
Susulan kejadian itu seorang suspek berusia 31 tahun diberkas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!