Zamsaham nafi hilangkan diri
PEMILIK Kelantan FC, Norizam Tukiman menafikan dia menghilangkan diri dan tidak membayar gaji pemain seperti yang didakwa oleh beberapa bekas pemain kelab itu.
Sebaliknya, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham menegaskan bahawa dia sedang berusaha untuk menyelesaikan semua tunggakan gaji pemain.
Malah, Zamsaham juga menafikan dakwaan bekas pemain Kelantan FC, Syed Sobri Syed Mohamad bahawa dia tidak membayar satu sen pun gaji pemain itu.
"Dakwaan saya tak bayar satu sen pun gaji Syed Sobri itu tak betul. Sebab kita di TRW Kelantan FC ada bayar gaji dia daripada awal musim sampailah tiga bulan terakhir musim lepas.
"Walaupun dia cedera dan sakit tidak turun berlatih, kita bayar gaji dia. Cuma tiga bulan terakhir kita tak bayar gaji sebab terus terang kita ada masalah kewangan dan kita tidak dapat tajaan daripada mana-mana syarikat besar.
"Tetapi saya tetap akan selesaikan juga. Saya juga memohon maaf sekali lagi dan saya bukan menghilangkan diri daripada media sosial, cuma bagilah saya ruang sebab saya baru kehilangan ayah saya yang paling saya sayang," katanya.
Sebelum ini, Sukan Sinar melaporkan dakwaan Syed Sobri yang mengatakan bahawa Zamsaham menghilangkan diri dan masih belum membayar tunggakan gaji para pemain Kelantan FC.
Dalam pada itu, Zamsaham juga telah membayar tunggakan gaji tiga bulan itu secara beransur-ansur dan telah memasukkan RM1,000 ke dalam akaun 20 pemain kelab itu.
Namun, pada masa sama Zamsaham terkilan apabila terdapat segelintir pihak yang menuntut pembayaran tunggakan gaji penuh dan bukan RM1,000 setiap seorang.
“Cumanya saya terkejut apabila segelintir yang komen untuk memboikot ramai-ramai dan tidak terima RM1,000 yang saya berikan.
“Maksudnya jom boikot ramai-ramai, tak payah ambil pun duit itu. Saya terkejut, kalau individu tersebut duit banyak mungkin awak tak payahlah ambil RM1,000.
“Akan tetapi bagi yang memerlukan, RM1,000 pun besar sebenarnya. Macam sayalah, saya dapat dahulukan RM20,000 pun sebenarnya besar bagi saya," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!