Skuad berbasikal trek pulang tangan kosong dari Kanada
SKUAD berbasikal trek kebangsaan sekali lagi pulang dengan tangan kosong pada kejohanan Piala Negara-negara UCI 2024 di Milton, Kanada.
Dalam acara pecut, Muhammad Ridwan Sahrom menamatkan saingan di tempat ke-29 selepas tersingkir awal pada pusingan kelayakan yang berlangsung di Mattamy National Track Cycling Centre.
Pingat emas dimenangi pelumba dari Belanda Harrie Lavreysen, diikuti Jair Tjon En Fa dari Suriname di tempat kedua dan Nicholas Paul dari Trinidad and Tobago, ketiga.
Pelumba wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri juga tidak menyerlah pada penampilan kali ini apabila menamatkan saingan di tempat kelapan acara keirin.
Sebelum itu, pelumba dari Kedah itu menduduki tempat keenam pada pusingan repechage sebelum mara ke final.
Pingat emas keirin wanita dimenangi pelumba New Zealand, Ellesse Andrews, diikuti pingat perak dimenangi pelumba Belanda, Steffie Van Der Peet dan Lauriane Genest dari Kanada (gangsa). - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!