Aidilfitri kembali kepada fitrah, rai kemenangan

Sempena bebas daripada dosa dan kejahatan, namun perlu istiqamah teruskan ibadah lazim Ramadan

UMAT ISLAM akan keluar ke masjid atau tempat terbuka untuk mendirikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal. Foto Bernama
UMAT ISLAM akan keluar ke masjid atau tempat terbuka untuk mendirikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal. Foto Bernama
A
A
A

SELEPAS sebulan berusaha sehabis baik melaksanakan puasa dan ibadah-ibadah lain, tibalah hari yang dinanti-nantikan semua iaitu Hari Raya Aidilfitri.

Tidak kira tua atau muda, miskin atau kaya, di bandar atau desa, semuanya dengan penuh gembira meraikan hari kemenangan itu.

Berdiskusi mengenai Aidilfitri, Sinar Islam Plus menemu bual pendakwah, Dr Azmir Azri Ahmad bagi mengupas makna di sebalik sambutan tahunan umat Islam yang disambut pada 1 Syawal itu.

Bebas daripada dosa, kejahatan

Memulakan bicaranya, beliau menjelaskan, Aidilfitri dinisbahkan kepada hari perayaan atas kejayaan berpuasa selama sebulan sehinggakan haram buat umat Islam untuk berpuasa pada hari raya itu.

DR AZMIR AZRI
DR AZMIR AZRI

“Aidilfitri juga disifatkan sebagai kembali kepada fitrah yang membawa maksud suci atau bebas daripada dosa, kesalahan, kejahatan atau keburukan.

Artikel Berkaitan:

“Hal ini sejalan dengan hadis Rasulullah SAW yang menyatakan: “Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan didasari iman dan semata-mata kerana mengharapkan keredaan ALLAH, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampunkan.“ (Hadis Riwayat Muttafaqun ‘alaih)

“Maka Aidilfitri juga dapat digambarkan sebagai kembalinya seseorang kepada keadaan suci atau kebebasan dari segala dosa, kesalahan dan keburukan sehingga dia berada dalam kesucian atau fitrah,“ katanya.

Menurutnya, merujuk kepada ayat ke-30 Surah ar-Rum: “Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama ALLAH. (Tetaplah atas) fitrah ALLAH yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada ciptaan ALLAH. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.“

“Ayat ini menunjukkan bahawa kehidupan manusia akan tetap suci dan bersih selama mengikuti ajaran Islam yang lurus. Oleh itu, kembali kepada fitrah bererti kembali kepada jalan yang ditetapkan oleh Allah.

“Dalam konteks Hari Raya Aidilfitri, semua keistimewaan Ramadan yang mendidik jiwa umat Islam sepanjang bulan itu diharapkan dapat bersihkan dosa dan noda, sementara kita merayakan kemenangan atas hawa nafsu,“ katanya.

Menjawab persoalan sejak bila Aidilfitri disyariatkan, Azmir Azri menjawab, ia bermula pada tahun kedua Hijrah sama seperti pensyariatan puasa dan zakat fitrah, bersamaan dengan kemenangan umat Islam dalam Perang Badar.

“Sejarah Hari Raya Aidilfitri tidak dapat dipisahkan daripada dua peristiwa penting iaitu Perang Badar dan tradisi perayaan masyarakat Jahiliyah.

“Kemenangan pada Perang Badar menjadi titik sejarah menandakan bahawa di sebalik sambutan Aidilfitri terdapat kisah perjuangan para sahabat untuk berjihad dalam Perang Badar.

“Oleh itu, selepas mencapai kemenangan, umat Islam secara tidak langsung merayakan dua kemenangan, iaitu kemenangan atas diri mereka yang telah berpuasa sepanjang sebulan dan kemenangan dalam Perang Badar,“ hurainya.

Amalan sunnah pada Aidilfitri

Menurutnya lagi, antara perkara penting yang sangat perlu diberi perhatian oleh umat Islam semasa sambutan Aidilfitri adalah dengan tidak meninggalkan amalan-amalan sunnah sebagaimana berikut:

1 - Niat mandi sunat sebelum menunaikan solat sunat hari raya.

2 - Memakai pakaian yang bersih dan terbaik sebagai tanda kegembiraan.

3 - Menjamah sedikit makanan sebelum pergi menunaikan solat sunat hari raya.

UMAT ISLAM keluar beramai-ramai ke masjid atau tempat terbuka untuk mendirikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal. Foto Pexels
UMAT ISLAM keluar beramai-ramai ke masjid atau tempat terbuka untuk mendirikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal. Foto Pexels

4 - Melafazkan takbir dari rumah menuju ke tempat solat sebagai tanda kemenangan dan kebesaran ALLAH.

5 - Saling mengucapkan selamat iaitu ‘Taqabbalallahu minna wa minkum’ yang bermaksud ‘Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu’ kepada sesama Muslim, untuk meraikan kesyukuran dan kebahagiaan bersama.

6 - Melalui jalan yang berbeza ketika pergi dan pulang dari tempat solat sunat Hari Raya Aidilfitri.

“Dengan mengamalkan amalan-amalan sunnah ini, umat Islam dapat memperkukuhkan kesatuan dan meningkatkan keberkatan dalam sambutan Aidilfitri,“ katanya.

Teruskan ibadah lazim Ramadan

Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, beliau menyeru umat Islam:

1 - Tidak berlebih-lebihan dalam merayakan hari raya dengan hiburan berlebihan serta bercampur dengan maksiat.

2 - Meneruskan amalan solat jemaah di surau atau masjid.

3 - Menjadikan kebiasaan bangun sahur dengan bangun solat tahajud.

4 - Mengukuhkan ukhuwah sesama muslim dengan amalan ziarah-menziarahi dan elakkan mengumpat.

AIDILFITRI disifatkan sebagai kembali kepada fitrah yang membawa maksud suci atau bebas daripada dosa, kesalahan, kejahatan atau keburukan. Foto Pexels
AIDILFITRI disifatkan sebagai kembali kepada fitrah yang membawa maksud suci atau bebas daripada dosa, kesalahan, kejahatan atau keburukan. Foto Pexels

Kepada soalan apa tindakan selepas berakhirnya Ramadan, beliau menasihatkan agar umat Islam mengingati nilai-nilai kesederhanaan dan kecukupan serta mengelakkan pembaziran dalam berbelanja.

“Teruskan membaca al-Quran kerana Ramadan bukanlah penamat kepada ibadah membaca al-Quran sebaliknya ia adalah satu titik permulaan yang baru.

“Digalakkan umat Islam untuk terus membaca al-Quran dan mempertahankan hubungan mereka dengan kitab suci ALLAH selepas berakhirnya Ramadan.

“Membaca al-Quran membawa banyak manfaat kerohanian dan memberi ketenangan kepada jiwa. Oleh itu, amat penting untuk menjadikan amalan membaca al-Quran sebagai rutin harian selepas Ramadan,“ ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!