Bidaan projek pembelian bekalan elektrik hijau ke Singapura dibuka
PUTRAJAYA - Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mempelawa pihak yang berminat dan berkelayakan untuk menyertai proses bidaan pembelian bekalan elektrik hijau daripada sistem bekalan elektrik Malaysia untuk disalurkan ke sistem bekalan elektrik Singapura.
Menerusi kenyataan, PETRA memaklumkan proses bidaan itu dilaksanakan menerusi platform Energy Exchange Malaysia (ENEGEM).
Ujar kementerian itu, pembidaan bagi perdagangan bekalan elektrik hijau merentas sempadan ke Singapura ini akan dimulakan dengan pelaksanaan projek rintis berjumlah 100 megawatt (MW) menggunakan rangkaian infrastruktur sambung tara sedia ada antara Semenanjung Malaysia dan Singapura.
"Antara intipati pelaksanaan proses bidaan di bawah projek rintis ini adalah seperti terbuka kepada pembida tenaga boleh Baharu (TBB) yang mempunyai lesen penjanaan atau lesen peruncitan bekalan elektrik untuk pasaran Singapura," katanya pada Isnin.
Pembida TBB yang berminat juga perlu berdaftar dengan single buyer untuk menyertai proses bidaan yang dilaksanakan selain akan dinilai menerusi proses pra-kelayakan.
"Mereka yang berjaya akan mendapat notifikasi untuk melakukan bidaan pembelian bekalan elektrik hijau pada hari bidaan dan pembida yang berjaya akan menandatangani Perjanjian Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharudengan Single Buyer untuk urusniaga bekalan elektrik hijau," ujar PETRA.
Jelas kementerian itu, pembida TBB yang berminat boleh mendaftarkan hasrat penyertaan melalui laman sesawang PETRA atau Single Buyer mulai Selasa.
"PETRA yakin pelaksanaan bidaan melalui platform ENEGEM ini akan membolehkan Malaysia memperkukuhkan lagi kerangka kerja pembekalan elektrik merentas sempadan di samping membuka peluang pembangunan serta usaha sama bidang TBB yang lebih luas," katanya.
Kerajaan sebelum ini bersetuju untuk menubuhkan ENEGEM bagi melaksanakan perdagangan bekalan elektrik hijau merentas sempadan ke negara jiran.
Ia selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negara serta komitmen Malaysia untuk menyokong inisiatif integrasi bekalan elektrik serantau melalui ASEAN Power Grid.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!